COVID-19 : Terengganu Perkukuh Perniagaan Atas Talian Bantu IKS

Ariffin Deraman.

KUALA TERENGGANU, 1 April - Kerajaan Terengganu melalui Pakej Rangsangan Terengganu Cakna bertindak memperkukuh inisiatif digital bagi membantu syarikat-syarikat menggunakan pemasaran dalam talian (online marketing) dan ‘runner’ negeri berkenaan untuk beroperasi lebih baik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, satu pasukan petugas dibentuk bagi menyokong kumpulan ini dan membantu perkembangan pendigitalan perniagaan Industri Kecil Sederhana (IKS) melalui konsep E-Dagang.

"Konsep ini berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bagi menangani perniagaan yang terjejas akibat COVID-19 dengan menyediakan platform lebih baik dan berdaya saing.

"Kita jangkakan ia akan memacu peluang pasaran baharu dalam peruncitan, perniagaan asas tani, makanan dan lain-lain di negeri Terengganu," katanya.
Produk IKS mampu dipasarkan secara dalam talian.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, beliau memaklumkan, inisiatif ini membolehkan pengiat industri 'online' mengautomasikan operasi dalam talian dengan lebih cekap dan membantu rakyat membuat pembelian barangan harian dengan lebih mudah.

Jelasnya, antara syarikat terlibat dalam kerjasama itu adalah TD1303, Top IT Sdn. Bhd, getrunner.my, ganufresh.com, eruncit.my, hunggaexpress (apps) dan beberapa platform 'online' yang akan dibina.

"Kerjasama ini juga melibatkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dalam menyediakan produk-produk IKS sama ada barang-barang keperluan harian, industri asas tani mahupun makanan agar dapat terus memasarkan produk mereka di pasaran terbuka.

Kerajaan negeri akan memberi pendedahan kepada rakyat Terengganu untuk melihat platform teknologi maklumat terutama 'online marketing' sebagai rangkaian untuk perniagaan yang lebih efisyen dan menguntungkan," katanya.



Sumber: teganukita.net