Individu Keluar Rumah Selepas Jam 8 Malam Akan Ditangkap

Dato' Roslee Chik.

KUALA TERENGGANU, 13 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menangkap rakyat Terengganu yang berkeliaran selepas jam 8 malam tanpa sebarang sebab.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tersebut terhadap mana-mana individu yang ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, walaupun sudah hampir sebulan PKP dilaksanakan, masih ada antara rakyat Terengganu yang memberi alasan tidak munasabah apabila keluar rumah.

"Contohnya mahu membeli air, makanan, barangan dan sebagainya walaupun sudah dimaklumkan operasi perniagaan di negeri ini hanya beroperasi sehingga jam 6 petang.

"Kita terpaksa ambil tindakan tegas seperti ini bagi memastikan rantaian COVID-19 ini terputus," katanya sebagaimana dilapor Harian Metro.

Mengulas tentang kesesakan lalu lintas di beberapa laluan di negeri itu, Roslee berkata, pertambahan kenderaan berlaku mungkin disebabkan beberapa premis perniagaan seperti bengkel kereta dan peralatan pertukangan yang dibenarkan beroperasi kembali.

"Sebelum ini, sepanjang PKP jumlah kenderaan adalah antara 5,000 hingga 6,000 namun kita lihat ada pertambahan sehingga 9,000 kenderaan sejak semalam.

"Mereka beralasan mahu ke bank, membeli makanan dan sebagainya, jadi kita benarkan tetapi kita harap alasan yang diberikan itu adalah benar," tambah beliau.



Sumber: teganukita.net