Kehilangan Warga Emas Akhirnya Terungkai



Oleh: Azhar Yusof

HULU TERENGGANU, 30 April - Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang di kawasan hutan kampung Bukit Diman, Ajil, di sini, ditamatkan petang Khamis, susulan mangsa ditemukan selamat berhampiran kawasan yang dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba Kuala Berang , PPgB Hanafi Mohd berkata, mangsa Taib Yaacob, 81, ditemukan orang kampung kira kira 4.10 petang di Kawasan hutan  berkenaan dalam keadaan tidak bermaya.

"Petugas operasi yang kemudian memeriksa mendapati mangsa adalah individu yang dicari. Mangsa ditemui selamat dalam keadaan separa sedar," katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Semalam, keluarga mangsa melaporkan Taib  hilang pada 2.30 petang selepas keluar ke hutan seorang diri berhampiran rumahnya.

Susulan kehilangannya, SAR yang membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) , Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM ), Polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) diaktifkan dengan kawasan pencarian meliputi tiga kilometer dengan tumpuan di kawasan hutan dan kampung berdekatan.

Katanya lagi, mangsa difahamkan mengalami masalah pendengaran selain pergerakan agak perlahan berikutan faktor usia lanjut.



Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil ¸ Maliaman Kassim yang turut serta dalam usaha pencarian mengucapkan setinggi tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam usaha pencarian mangsa sejak semalam.

Sumber: teganukita.net