MB Terengganu Jawab Dakwaan Ahmad Said

Kata MB, bantuan RM10 juta dari kerajaan Persekutuan telah diagih kerajaan negeri dengan cara sebaiknya.

KUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan Terengganu menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato' Seri Dr Ahmad Said yang mengatakan agihan bantuan RM10 juta kepada wakil rakyat bukan kerajaan negeri itu tidak adil.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, suasana semasa pandemik COVID-19 memerlukan bantuan disampaikan dengan kadar yang segera dan tepat pada sasarannya.

Tegasnya, ada dua perkara berkait dengan penyampaian bantuan tersebut iaitu bantuan mesti disampaikan pada rakyat memerlukan, tanpa mengira warna politik serta kaedah penyampaian mesti berkesan dan segera semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Oleh itu keputusan diambil untuk mengagihkan bantuan menerusi agensi rasmi kerajaan iaitu Pusat Khidmat Masyarakat DUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kerana mereka paling hampir dan bertanggungjawab secara langsung terhadap kebajikan rakyat.

"MPKK akan menilai senarai mereka yang layak dengan merujuk pelbagai data (dari agensi kerajaan negeri dan persekutuan) disamping penentuan keadaan sebenar fizikal di bawah.

"Arahan khusus diberikan pada MPKK supaya berlaku adil, menyampaikan bantuan pada yang selayaknya tanpa mengira warna politik penerima," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun Ahmad Samsuri berkata, pihaknya turut memahami keperluan dan tugasan yang perlu dijalankan oleh setiap ADUN.

"Maka kerajaan negeri turut menyalurkan sebahagian bantuan COVID-19 sejumlah RM45,000 kepada ADUN BN di negeri Terengganu untuk diuruskan.

"Sekali imbas cara yang paling ideal ialah bantuan diberikan secara sama rata pada semua ADUN.

"Bagaimanapun terdapat 'missing link' pada waktu ini antara ADUN BN dengan MPKK, kerana model jawatankuasa komuniti kampung yang sedia ada pada waktu ini adalah model yang dibina sebelum pembentukan muafakat politik berlaku," ujar beliau.

Tambah beliau, kerajaan negeri yakin bahawa sekiranya berlaku penambahbaikan pada komposisi MPKK masalah itu tidak lagi berulang.

"Dengan mengambikira wakil yang berbagai dalam masyarakat dan muafakat politik baharu di peringkat nasional, maka keadaan baharu yang lebih inklusif ini boleh diurus supaya menjadi lebih baik dan harmoni di masa depan," katanya

Sumber: teganukita.net