Sembilan Platform E-Dagang Bantu Peniaga Kecil Terengganu Pasarkan Produk


KUALA TERENGGANU, 23 April- Sembilan platform E-Dagang telah dibangunkan gabungan kerjasama agensi keusahawanan, anak syarikat kerajaan negeri dan juga usahawan digital dalam usaha membantu hampir 10,000 peniaga kecil di negeri ini memasarkan produk masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerjasama tersebut bertujuan membolehkan para peniaga menjana pendapatan bukan sahaja pada bulan puasa, tetapi akan diteruskan selaras dengan perkembangan perniagaan atas talian yang semakin berkembang.

"Susulan pembatalan penganjuran bazar Ramadhan di negeri ini yang pastinya menjejaskan pendapatan beribu peniaga dan penjaja, kerajaan negeri melaksanakan inisiatif pembelian dalam talian (online) bagi menggantikan bazar Ramadhan yang berkonsepkan fizikal.

"Secara tidak langsung, langkah tersebut juga memberi peluang rakyat Terengganu membeli dan menikmati  juadah berbuka puasa secara atas talian dan pada masa yang sama masih mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tidak mengambil risiko keluar dan bersesak dengan orang ramai, " ujarnya pada sidang media di Majlis Memperkenalkan Platform E-Dagang Terengganu di Bangunan TD1303, hari ini.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman.

Mohd Nurkhuzaini berkata, sembilan platform yang diperkenalkan adalah GanuShop yang diselaraskan oleh Yayasan Pembangunan usahawan Terengganu (YPU).

"Dua lagi anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat ialah TD1303 Dan Top IT Industries Sdn Bhd.

" Top IT Industries Sdn Bhd adalah pemilik dan penyelaras bagi platform Bazar Terengganu (sebelum ini dikenali sebagai payang.my).

"Manakala, TD1303 pula telah membantu syarikat 'startup' yang bernaung sebagai komuniti TD1303 iaitu getrunner.my, ganufresh.com, eruncit.my, Hungga Mart Dan beberapa platform 'online' lain," katanya.

Tambah beliau, terdapat beberapa lagi individu yang telah bersama-sama kerajaan mengambil inisiatif membina platform E-Dagang untuk usahawan.

"Mereka ialah bazarganu.com, Bazar Online Terengganu (BOT)/T'Runner Dan hellomy.time.com," ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri melalui kerjasama dua Jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Penjaja Negeri serta Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri telah membentuk satu kumpulan 'Task Force' bagi menyokong kumpulan ini dan membantu perkembangan pendigitalan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) di negeri ini melalui E-Dagang.

"Konsep E-Dagang ini berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Salam tempoh menangani ekonomi yang terjejas akibat COVID-19.

"Dengan menyediakan platform yang lebih baikdan berdaya saing, pendekatan ini dijangka memacu peluang pasaran baru dalam peruncitan, perniagaan asas tani, dan lain-lain," ujarnya.




Sumber: teganukita.net