12 Peniaga Ayam Naik Harga Diberi Notis

Saharuddin (tengah) ketika melakukan pemeriksaan.

KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Sehingga semalam sebanyak 12 notis dikeluarkan kepada peladang, pemborong dan peruncit ayam di negeri ini selepas aduan berkaitan kenaikan harga ayam diterima sejak seminggu lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, notis itu juga bertujuan untuk menyiasat punca kenaikan harga ayam secara mendadak.

"Kami sudah menjalankan 386 pemeriksaan di premis-premis jualan seluruh Terengganu dan kesemua notis yang dikeluarkan terhadap premis-premis itu masih dalam siasatan KPDNHEP.

"Berdasarkan rekod, harga purata bagi jualan runcit ialah sekitar RM5.00 hingga
RM7.00 per kilogram mengikut kawasan tetapi telah mengalami kenaikan
sehingga RM9.00 per kilogram sejak kebelakangan ini," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Menurut beliau, sekiranya disabitkan kesalahan, denda maksimum sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap individu tersebut.

"Manakala, syarikat pula boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM500,000," tegas beliau.

Tambah Saharuddin, isu ini akan dapat ditangani apabila KPDNHEP melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2020.

"Insya-Allah esok kita akan umumkan harga ayam dan peniaga tak boleh menjual lebih daripada harga yang ditetapkan itu.

"Malahan penetapan harga maksima yang akan diumumkan esok bukan hanya melibatkan ayam, tetapi beberapa barangan kawalan lain turut tersenarai," jelas beliau.

Untuk rekod, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu, pihaknya telah menjalankan 3,488 pemeriksaan dan membuka 79 kertas siasatan melibatkan nilai kompaun sebanyak RM31,400.

Selain itu, sebanyak 169 aduan telah diterima daripada orang awam melibatkan 70 kes berkaitan transaksi dalam talian dan 45 aduan berkaitan harga dan selebihnya adalah lain-lain aduan yang telah diambil tindakan.

Orang ramai yang ingin membuat aduan atau mempunyai kemusykilan bolehlah menghubungi bilik gerakan KPDNHEP Terengganu di talian  09-6204 700/701 atau aplikasi whatsapp (019-279 4317) dari jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang.

Sumber: teganukita.net