230 Penduduk Pulau Terima Bantuan



Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 6 Mei- Seramai 230 orang penduduk di Pulau Perhentian menerima bantuan yang disumbangkan oleh Pemaju Wanlan Metro Sdn Bhd.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban penduduk tersebut yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac yang lalu.

"Sebahagian besar penduduk di sini bekerja dalam sektor pelancongan yang di mana ianya tidak dapat berjalan sejak bermulanya PKP.

"Bantuan yang diberikan ini adalah  bagi membantu penduduk Pulau Perhentian yang terputus sumber pendapatan ketika PKP dijalankan," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengagihkan sumbangan, di sini, pada 3 Mei.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan (SUK) Perumahan Terengganu, Puan Sofia.

Menurutnya, barangan yang diagihkan ini adalah sumbangan daripada Pengarah Projek Wanlan Metro dan antara bantuan yang diberikan ialah seperti beras, ayam, gandum dan bihun.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pemaju Wanlan Metro, Hairiezan Rasli yang bermurah hati menyalurkan sumbangan ini.


“In shaa Allah kami juga akan menyampaikan bantuan sebelum menjelang hari raya," tambah beliau.





Sumber: teganukita.net