MB Terengganu Tinjau Lokasi Pencarian Tiga Beradik Dikhuatiri Lemas

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) meninjau lokasi kejadian tiga beradik yang dikhuatiri lemas lewat petang semalam.
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turun padang pagi ini bagi meninjau lokasi pencarian tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai Telemong lewat petang semalam.

Beliau turut berduka cita dengan tragedi tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

"Tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa. Ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang diteruskan bermula jam 9 malam semalam.

"Memang sedih bagi kita dengan apa yang berlaku ini dan kita harap operasi ini dapat berakhir dengan segera sebab penantian bagi keluarga mangsa terutamanya adalah amat menyedihkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam tinjauan ke lokasi kejadian sebelum singgah menziarahi keluarga mangsa di sini pagi tadi.


Hadir sama dalam tinjauan tersebut, isteri beliau, To' Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman, Ketua Polis Negeri Terengganu, Dato' Roslee Chik, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azizi Zulkifli, Pegawai Penyelaras Hulu Terengganu, Muhyidin Abd Rashid dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Mengulas tentang langkah keselamatan yang perlu diambil untuk mengelakkan kejadian sama berulang, menurut Ahmad Samsuri, setiap komuniti dan keluarga masing-masing perlu mengawal pergerakan anak-anak terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berjalan.

"Kesukaran untuk pertolongan itu sampai dalam keadaan ketiadaan orang awam yang disaran berada di rumah masing-masing dalam suasana menyambut hari raya pada tempoh PKPB ini.

"Saya difahamkan oleh pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bahawa tempat ini bukan kawasan orang mandi di sini.

"Kita amat sedih dengan apa yang berlaku dan minta keluarga mangsa bersabar dengan ujian yang berlaku," ujarnya.

Terdahulu, tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai berkenaan lewat petang semalam.

Mayat Umar Iskandar Mohd, 21, dan Khairil Firdaus Mohd, 17, telah dijumpai dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Khalif Naim Mohd, 16.

Seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan operasi SAR mangsa bermula jam 9 malam semalam.




Sumber: teganukita.net