Minggu Kedua Solat Jumaat, Jemaah Patuh SOP



SOP solat Jumaat terus dipatuhi.

Oleh : Fahmi Izzuddin

SETIU, 29 Mei - Semua jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di masjid di daerah ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk menggunakan cecair sanitizer dan melakukan pemeriksaan suhu.

Pegawai Agama Daerah Setiu, Ustaz Muhamad Ash-Shafie Abd Manan berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan terhadap para jemaah yang hadir bagi mengelakkan sebarang pelanggaran SOP.

"Hanya jemaah terpilih dan mendapat surat kebenaran sahaja hadir menunaikan solat Jumaat dengan kehadiran direkodkan, memakai penutup hidung dan mulut, pemeriksaan suhu dan penggunaan 'hand sanitizer' turut dilakukan di pintu masuk masjid.


"Jemaah juga dikehendaki membawa sejadah dan berwuduk dari rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Menurut beliau, pihak Polis Diraja Malaysia, RELA, Penguatkuasa Syariah, Penguatkuasa Majlis Daerah Setiu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu memantau perjalanan solat Jumaat.

Untuk rekod, Masjid Bandar Permaisuri, Setiu dipilih sebagai masjid yang dibenar mengadakan solat Jumaat dengan kapasiti jemaah adalah tidak lebih 40 orang.



Sumber: teganukita.net