Peniaga, Pengguna Mesti Cakna Harga Barang


Dr Azman Ibrahim.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 21 Mei – Para peniaga dan rakyat dinasihatkan untuk terus cakna kepada sebarang perubahan harga barangan terkawal di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, isu kenaikan harga barangan terutamanya ayam hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini.

Katanya, kerajaan negeri mengikuti secara dekat tentang masalah itu dan mengingatkan para peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum menerima padah di masa akan datang.

"Harga Borong dan Runcit Makimum Barangan Harga Terkawal bagi Negeri Terengganu telah berkuatkuasa mulai hari ini sehingga 3 Jun 2020.

"Peniaga jangan jual lebih daripada harga yang ditetapkan. Kalau tidak patuh, jangan marah bila penguatkuasa KPDNHEP datang bertandang. Para pengguna boleh buat aduan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa komited untuk menjaga keharmonian antara peniaga dan pengguna kerana semuanya adalah rakyat yang perlu dijaga.

Dalam masa yang sama, Dr Azman turut memaklumkan pengawalan harga barangan dan penguatkuasaan sebenarnya bukan bidang kuasa kerajaan negeri.

"Tetapi saya ambil tanggungjawab ini bagi memastikan tiada pihak yang terbeban, kita mahu semua senang.

"Antara sebab lain ialah kerana sebagai teraju kepada sektor pertanian negeri, saya bertanggungjawab untuk pastikan kecukupan sumber bekalan makanan dari keluaran sektor pertanian, perikanan dan penternakan.

"Naik turun harga berkait rapat dengan 'supply and demand'. Betul KPDNHEP memegang autoriti penguatkuasaan dan kawalan harga. Akhirnya yang terkesan ialah peniaga dan pengguna rakyat Terengganu kita. Rakyat kita semua," jelasnya.



Sumber: teganukita.net