Segelintir Masyarakat Masih Ingkar PKPB


Beberapa anak muda berkumpul di kawasan muara utara Drawbridge.

KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan bermula 4 Mei lalu, rakyat khususnya masyarakat di negeri ini semakin faham dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan ketika di luar rumah.

Namun, masih terdapat segelintir individu mengabaikan aspek keselamatan dan kawalan kendiri dengan berkumpul di tempat-tempat umum dan mengingkari panduan ditetapkan kerajaan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Berdasarkan aduan orang ramai, tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) malam tadi mendapati sebilangan masyarakat kembali memenuhi kawasan rekreasi Taman Awam Pantai Batu Buruk, hanya sehari selepas pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu meletakkan hadangan (barrier) di kawasan tersebut.
Masih ramai mengambil peluang bersantai di Taman Awam Batu Buruk.
Bagaimanapun, jumlah individu yang bersantai di situ nyata tidak seramai sebelum ini, menunjukkan penguatkuasaan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan bersama pasukan keselamatan mendatangkan kesan positif.

Tinjauan di muara utara Jambatan Angkat (Drawbridge) turut memperlihatkan beberapa kelompok anak muda berkumpul dalam jumlah agak ramai.

Bagaimanapun, kawasan-kawasan lain di sekitar bandar Kuala Terengganu sepi dan kedai-kedai makan turut mematuhi larangan yang ditetapkan kerajaan negeri supaya tidak membenarkan pelanggan makan di dalam premis sebaliknya melakukan jual beli secara 'take away' sahaja.







Sumber: teganukita.net