Skuad Belia Cakna Alumni SMASID Bantu Golongan Memerlukan


Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN, 10 Mei - Skuad Belia Cakna (SBC) terdiri daripada bekas pelajar (Alumni) Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail Dungun (SMASID) terus komited membantu golongan yang memerlukan.

Pengerusi Skuad Belia Cakna, Ahmad Zulkamal Hakim Kamaruddin berkata, fokus skuad berkenaan dibahagikan kepada dua kumpulan sasar bagi memudahkan gerak kerja dijalankan.

"Pertama kita sumbangkan kepada keluarga asnaf dari SMASID yang mana, data dan maklumat diperolehi daripada kaunselor sekolah.

"Kumpulan seterusnya kita fokuskan kepada penduduk kampung memerlukan yang tinggal berhampiran sekitar rumah ahli SBC kami," katanya ketika dihubungi pemberita.

Menurut beliau, hasil dana didapati daripada derma ahli - ahli kelab dan juga sumbangan luar.

"Awal - awal sekali kita buka tabung dana program ini kepada ahli kelab terlebih dahulu dan baru diminta daripada syarikat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat dan orang ramai."

"Alhamdulillah, kita mendapat sumbangan yang lebih daripada ahli kelab ini sendiri," katanya.

Katanya, penubuhan kelab berkenaan juga secara tidak langsung dapat merapatkan lagi ukhuwah disamping program- program kebajikan yang dijalankan.

"Kita tahu selepas peperiksaan SPM, masing-masing (Alumni) membuat haluan mereka."

"Dengan penubuhan kelab kita dapat eratkan balik ukhuwah yang telah renggang dengan mengadakan program seperti ini," ujarnya.

Pada pertengahan tahun lepas, SBC telah mengadakan program bersama anak-anak yatim di Gong Balai, Merchang, Terengganu.

"Alhamdulillah, ini adalah kesinambungan atas kejayaan SBC mengadakan program anak yatim tahun lepas untuk meneruskan program tahun ini kerana pihak kami mendapat sambutan daripada orang ramai," katanya lagi.


Sumber: teganukita.net