Solat Jumaat Di Terengganu Kembali Selepas Dua Bulan Ditangguh

Solat Jumaat diadakan dengan SOP yang ketat.

KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Setelah sembilan minggu terpaksa ditangguhkan ekoran penularan COVID-19, lapan masjid terpilih di seluruh Terengganu kembali diimarahkan dengan solat Jumaat hari ini.

Mufti Terengganu, Dato' Dr Zulkifly Muda berkata, solat Jumaat itu diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk dihadiri oleh 40 jemaah.

"Daripada 40 orang tersebut, mereka adalah yang tinggal di mukim masjid yang dibenarkan mengadakan solat Jumaat.

"Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Pegawai Agama Daerah masing-masing yang memilih siapa yang dibenarkan solat Jumaat," katanya ketika ditemui media selepas solat Jumaat di Masjid Abidin di sini hari ini.

Zulkifly berkata, solat Jumaat adalah syiar umat Islam.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihak masjid terpaksa membuat tapisan individu yang dibenarkan solat Jumaat di setiap masjid.

"Ramai yang ingin kembali mendirikan solat Jumaat, tetapi kita terpaksa melakukan tapisan bagi mengelakkan terlampau ramai jemaah sehingga boleh merisikokan pelanggaran SOP dan penularan wabak.

"Dan terpulang kepada pihak masjid sama ada ingin memilih jemaah lain atau sama setiap minggu, saya cadangkan agar dipilih jemaah lain," jelas Zulkifly.

Sementara itu, Zulkifli turut menegaskan, Terengganu masih tidak membenarkan aktiviti solat sunat Tarawih dan Aidilfitri dilakukan di masjid sebagaimana diumumkan baru-baru ini.

Semoga wabak COVID-19 segera berakhir.



Sumber: teganukita.net