Terengganu Tidak Benarkan Orang Ramai Makan Minum Di Restoran Dan Gerai Makanan



KUALA TERENGGANU, 6 Mei - Kerajaan Terengganu tidak membenarkan orang ramai makan  minum di premis restoran atau kedai makan berkuatkuasa serta merta sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak,  berkata premis makanan dan minuman hanya dibenarkan menjual secara bungkus, penghantaran dan pandu lalu.

Katanya, premis bukan Islam hanya dibenarkan beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam, manakala peniaga Islam beroperasi pukul 3 petang hingga 10 malam dan makanan restoran makanan segera 12 tengah hari hingga 10 malam.

"Walaupun kerajaan pusat membenarkan makan dalam restoran, tapi memandangkan suasana beberapa hari yang kita perhatikan ini, agak sukar untuk orang kita mengikuti sop ini, maka kita tidak benarkan makan di kedai.

"No dine in(tidak boleh makan dalam premis) cuma take- away(bawa pulang) sahaja.

"Itu satu kelainan sikit yang telah kita setuju oleh majlis pusat kerajaan negeri  kerana menimbangkan atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas  mengadakan lawatan ke premis jualan di Pasar Payang, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed.

Tambah Alias, keputusan dibuat selepas mesyuarat bersama JKNT yang memohon kerajaan negeri mempertimbangkan supaya tidak membenarkan makan di restoran atau di premis-premis kedai makanan buat masa ini

"Tunggulah sampai 12 Mei, mungkin ada perubahan-perubahan yang baharu.

"Kita nak pastikan dengan bersungguh-sungguh supaya rakyat Terengganu selamat, tidak ada kluster baharu atau jangkitan baharu covid19 ini," katanya.





Sumber: teganukita.net