Padang Latihan Terengganu FC Disanitasi

Pengurusan KSNT melakukan sanitasi di pusat latihan pasukan bola sepak Terengganu kelmarin. Foto ihsan - TFC
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu serta pengurusan Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) melakukan proses sanitasi di pusat latihan pasukan bola sepak Terengganu di KSNT Gong Badak kelmarin.

Proses pencegahan wabak pandemik Covid-19 itu adalah sebagai persediaan dan antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum pasukan Liga Malaysia (Liga M) memulakan sesi latihan.

Bagaimanapun, sesi latihan yang dibenarkan mulai hari ini dengan SOP yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini, tidak dapat dilaksanakan skuad dari Pantai Timur itu kerana pemain belum lagi menjalani ujian 'swab test' atau ujian calitan.

Setiausaha Eksekutif PBSNT, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, proses sanitasi itu adalah salah satu SOP yang ditetapkan dan perlu dipatuhi sebelum pemain dibenarkan menjalani latihan di padang.

Katanya, proses sanitasi yang dipantau JBPM dan dilakukan pengurusan KSNT mengambil masa hampir tiga jam sebelum selesai sepenuhnya bagi memastikan kawasan berkenaan bebas daripada kuman.

"Selain fasiliti sukan di sanitasi, kawasan padang termasuk tiang gol, pagar dan tempat rehat serta kawasan sekitarnya turut disanitasi bagi pencegahan wabak pandemik Covid-19 itu sebagai persediaan untuk pemain menjalani latihan.

"Berkaitan sesi latihan pula, pemain belum lagi memulakan latihan esok, namun jika semua SOP sebelum latihan selesai termasuk 'swab test' pemain akan menjalani latihan dalam masa terdekat dengan SOP yang ditetapkan tanpa kehadiran penonton," ujarnya.

Sebagai rekod, KSNT melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) telah menutup sepenuhnya operasi kemudahan fasiliti sukan di kompleks berkenaan sejak tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian wabak pandemik Covid-19.

Penutupan itu juga sekali gus turut melibatkan penangguhan semua program latihan pemain termasuk atlet Sukan Malaysia (Sukma).

Berikutan langkah awal yang diambil itu sehingga kini tiada sebarang kes jangkitan Covid-19 melibatkan warga sukan Terengganu dilaporkan.

SUMBER: HARIAN METRO

Sumber: teganukita.net