Oleh: Aslam Wira
MARANG, 26 Jun - Seramai 18 peserta wanita mempamerkan bakat masing-masing dalam aktiviti mencandat sotong di Marang hari ini yang sekali gus mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu.
Aktiviti anjuran persendirian itu, mendapat penyertaan daripada kalangan pelancong luar negeri Terengganu seperti Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang.
Pengarah Program, Nur Hidayah Ali berkata, apa yang menarik dalam program ini adalah kesemua peserta adalah merupakan wanita, isteri dan ibu kepada anak-anak.
"Mereka yang turun untuk aktiviti kali ini adalah yang sukakan aktiviti luar dan mencabar di samping untuk menambah kemahiran serta ilmu berkaitan kelangsungan hidup di laut," katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program.
Menurutnya lagi, perempuan tidak boleh menghadkan diri daripada aktiviti yang bermanfaat dan memberikan kemahiran seperti ini.
Aktiviti mecandat sotong di kalangan wanita itu merupakan anjuran kali kedua, setelah mendapat sambutan yang baik.
Sementara itu, pemilik bot Romzi Ramlee berkata, aktiviti mencandat sotong mula mendapat sambutan selepas diumum oleh Kerajaan Negeri berkenaan kebenaran aktiviti tersebut.
"Pelancong luar dari luar Terengganu yang meminati aktiviti ini sudah mula menyewa bot-bot nelayan seperti tahun-tahun sebelum ini.
"Ia sekali gus memberikan peluang untuk menambah rezeki setelah menempuhi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengatasi pandemik COVID-19.
“Walau bagaimanapun aktiviti nelayan menangkap ikan dan meneruskan rantaian makanan hasil laut tetap diteruskan dan dibenarkan,” ucapnya lagi.
Sumber: teganukita.net