Ahli Parlimen Kemaman Isi 50 Tabung Masjid


Oleh: Alfian Mamad/Wan Hadi

KEMAMAN, 2 Julai - Sebanyak 50 buah masjid di seluruh Kemaman menerima sumbangan bagi menampung perbelanjaan pengurusannya setelah tiada kemasukan dana semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd. Hamid melalui Pusat Khidmat Masyarakatnya telah menyalurkan sejumlah wang tunai bagi meringankan bebanan sesetengah masjid.


Menurut Ketua Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam, peruntukan sebanyak RM125 ribu telah dikeluarkan bagi menyuntik dana tabung masjid yang agak berkurangan di seluruh Kemaman.

"Menyedari perkara tersebut kami bermesyuarat dan merancang bagi memulihkan setiap tabung masjid yang ada di seluruh kawasan Kemaman.


"Sepanjang tempoh PKP tiada sumbangan daripada orang awam yang kebiasaannya dikutip pada setiap solat Jumaat yang berjumlah tiga hingga empat ribu seminggu," ujar beliau.

Mohd Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sesi penyerahan dana 14 buah masjid Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Masjid Jamek Kijal semalam.

Turut hadir dalam majlis penyerahan tersebut, Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh, Pegawai Agama Daerah Kemaman, Aizi Saidi Abd Aziz, Ketua Unit Pengurusan Masjid Daerah Kemaman, Ustaz Hassan Harun, Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Masjid, Ustaz Abdul Hakim Mohd Nasir dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Wahab Ahmad.

Sumber: teganukita.net