Maghi Candat Sotong Kini Bermula Dengan Norma Baharu



MARANG, 11 Julai -  Penganjuran Program Maghi Candat Sotong oleh kerajaan negeri menjadi program pelancongan pertama di Terengganu selepas diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata program yang melalui Jabatan Pelancongan negeri itu sepatutnya berlangsung pada April lalu namun terpaksa ditangguhkan susulan wabak pandemik Covid-19.

"Program ini mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri  dan dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik.

"Ia sekaligus memberi rangsangan terhadap pengiat-pengiat industri pelancongan yang terdiri daripada pengusaha bot nelayan,  pengusaha hotel dan resort, peniaga kecil dan ramai lagi yang menerima manfaat daripada aktiviti berkenaan,"ujarnya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan program tersebut di jeti Marang di sini hari ini.

Tambah Ariffin, program Maghi Candat Sotong berjaya menarik 160 penyertaan  terdiri daripada wakil-wakil daripada setiap daerah serta rakan-rakan media daripada pelbagai agensi termasuk pengaruh media sosial.

Dalam pada itu beliau juga berkata, pihaknya mengenakan SOP yang ketat dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19 menghadkan penumpang bot iaitu seramai paling kurang 10 orang bergantung kepada saiz bot.

"Walaupun kita kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ia bukan bermakna kita sudah bebas dari wabak berkenaan dan orang ramai termasuk pengusaha dan penumpang bot perlu mematuhi SOP berkenaan," katanya.



Sumber: teganukita.net