Tindakan Susulan Jamin Kesejahteraan Penduduk


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 4 Julai- Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi yang menerima bantuan peralatan hospitaliti termasuk kerusi roda dan katil wakaf tidak dibiarkan sahaja malah ada tindakan susulan bagi menjamin kesejahteraan penerima.

Pembantu Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Mohd Noor Azian berkata sebaliknya perkembangan kesihatan mereka diambil tahu.

"Seramai 30 orang yang menerima manfaat daripada bantuan wakaf ini kita pantau dari semasa ke semasa.

"Sebagai tanda kecaknaan serta kita benar-benar prihatin terhadap mereka. Apabila mendengar mereka semakin baik dan menunjukkan perkembangan positif kita tumpang gembira," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ditemui pihak media selepas menziarahi kesemua penerima alatan bantuan secara wakaf diagihkan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, baru-baru inim

Katanya, mereka yang sudah sembuh, kembali sihat seperti sediakala dan tidak memerlukan lagi alatan berkenaan akan dikembalikan semula.

"Dimana kita memberikan pula kepada mereka yang lain, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa cakna dan prihatin terhadap masyarakat," ujarnya.

Katanya perkara berkenaan sangat dititikberatkan oleh Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman supaya kecaknaan dan keprihatinan perlu dipertingkat setiap masa.

"Tidak seronok jika kita ambil tahu kebajikan mereka hanya kali pertama tanpa ada susulan.

"Paling tidak jika sekiranya sibuk, dapat memantau perkembangan mereka melalui MPKK. Kita sentiasa bersedia dan komited menghulurkan bantuan kebajikan tanpa pilih kasih," ujarnya.

Sumber: teganukita.net