'Maaf cik, penghuni sebelah....'

Setiap orang mempunyai pengalaman paranormal/mistik masing-masing. Ini sekadar perkongsian sahaja. Bagi yang lemah semangat, anda tidak digalakkan untuk terus membaca. 


SAYA pernah mengalami kejadian yang menyeramkan ketika bermalam di sebuah hotel. Dari luar, keadaan hotel ini kelihatan seperti biasa dan tiada apa-apa yang aneh. Tetapi entah kenapa saya berasa aneh ketika melangkah kaki masuk ke lobi. Awalnya saya fikir, mungkin badan saya berasa penat selepas melakukan beberapa aktiviti sebelum itu. 


Setelah mendapatkan kunci bilik, saya bergegas menuju ke bilik untuk berehat. Tetapi saya tetap rasa tak sedap badan. Saya cuba untuk baring sekejap dan kemudian mahu membersihkan diri. 


Hari pun sudah mulai gelap, harapnya selepas mandi segala kepenatan badan saya pun terus hilang. 


Selesai mandi, saya keluar dan terkejut tatkala melihat semua tingkap bilik terbuka. Sampai angin pun bebas masuk ke dalam bilik. Masa tu dah masuk waktu maghrib, saya pun bergegas menutup tingkap. 


"BANGGG!!" 


Terperanjat saya apabila pintu bilik mandi tertutup sendiri dengan begitu kuat sekali. Kali ini, meremang bulu roma seluruh badan. Saya tengok ke arah bilik mandi sejenak sebelum bersiap dan terus keluar dari bilik. 


Saya ceritakan insiden itu kepada rakan saya dan bertanya sama ada dia yang membuka tingkap bilik ketika saya sedang mandi. Namun dia menafikan dan menegaskan dia baru saja sampai di hotel serta belum sempat pun masuk ke dalam bilik. 


Jadi, siapa yang buka tingkap bilik tadi? 


Saya malas nak endahkan hal itu, badan pun sudah penat. Selepas masuk ke bilik, saya hanya fikir nak tidur. Tetapi malam itu saya langsung tak dapat tidur. 


Pelbagai benda yang saya lakukan. Chat dengan kawan, layan music sampailah ke aktiviti membaca buku. Biasanya mata saya akan terpejam dengan sendirinya apabila sudah keletihan. Mata melirik ke penjuru atas kanan handphone, tak terasa pun dah jam 12 malam. 


Mata sudah mulai berat, buku yang dibaca diletak ke tepi. Saat baru sahaja nak memejamkan mata, saya terpaksa bangun kerana terdengar suara kanak-kanak bergurau dengan begitu lantang sekali. Saya diam dan cuba mencari sumber suara itu yang semakin nyaring kedengaran. 


"Aduh! Mana mak bapak diorang ni? Takkan dah lewat macam ni pun belum tidur + buat bising?" 


Untuk pertama kali saya masih boleh bersabar, lama kelamaan saya berasa terganggu kerana keadaan semakin bising. Saya terus menghubungi bahagian kaunter agar mereka memberi teguran kepada jiran sebelah bilik. Tetapi jawapan balas dari pihak kaunter membuatkan saya tergamam seketika. 


"Maaf cik, penghuni di bilik sebelah kanan sudah check out awal pagi tadi dan sekarang bilik sebelah itu kosong," katanya. 


Sumber: Phinemo



Sumber : thereporter.my