Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, berkenan mengurniakan 10 kereta Perodua Myvi kepada 10 jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Menerusi hantaran berserta gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda, kurniaan terbabit adalah bagi menzahirkan penghargaan atas sumbangan serta khidmat para jururawat berkenaan kepada baginda dan keluarga Diraja Johor.
Kenderaan itu disampaikan kepada para jururawat berkenaan dalam satu majlis di Kasawari Motors Sdn Bhd di Larkin, di sini, oleh Pengarah Kasawari Motors Muhammad Fahmi Hassan.
Menurut hantaran itu, Penyelia Jururawat Matron Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak 2006, melahirkan perasaan syukur atas kurniaan berkenaan.
"Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada baginda Tuanku Sultan atas kurniaan ini.
"Besar sungguh nilainya kepada kami semua dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Sultan Johor serta keluarga Diraja Johor," katanya.
Turut berkongsi perasaan sama, Nuraini Aziz, 28, yang hadir sendiri untuk menerima kenderaan berkenaan walaupun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak, tiga hari lepas.
"Saya bersyukur dapat hadir kerana ini merupakan satu kenangan yang sangat istimewa. Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Sultan Johor dan keluarga Diraja Johor," katanya.
Sumber: Bernama
Sumber : thereporter.my