Norshahrul Sedia Beraksi Habis-Habisan Bertemu Afghanistan


Penyerang pasukan negara, Norshahrul Idlan Talaha, mengakui perlu bekerja lebih keras tatkala pertahanan, Mohd Rizal Ghazali, enggan terbuai-buai dengan pujian menjelang aksi persahabatan menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam, malam esok.

Norshahrul yang mesra dipanggil Mat Yo mempamerkan aksi memberangsangkan ketika seri tanpa jaringan menentang Singapura, Jumaat lalu.

Bertindak sebagai pemain gantian, penyerang Terengganu ini mengubah jentera serangan bergerak lebih efektif menerusi beberapa asakan ke kubu lawan.

Dijangka membarisi kesebelasan utama bertemu Afghanistan, Mat Yo menyedari latihan tambahannya sebelum ini mula membuahkan hasil.

“Sudah menjadi sasaran utama saya untuk memberikan lebih daripada 100 peratus usaha ketika diturunkan, tidak mengira bermain di pentas apa sekalipun,” kata Mat Yo.

Sementara itu, Rizal masih belum berpuas hati dengan prestasinya biarpun mendapat pujian ramai, selepas menyarung jersi Malaysia buat pertama kali.

Pertahanan Kedah berusia 24 tahun ini mempamerkan aksi ampuh ketika bertemu skuad Singa tempoh hari apabila berjaya mengekang asakan-asakan lawan, sekali gus membantu benteng akhir Malaysia daripada dibolosi.

“Saya sudah bersedia untuk aksi seterusnya. Jika diturunkan, kami akan cuba yang terbaik dengan strategi yang telah ditetapkan oleh jurulatih,” kata Rizal.

Aksi menentang Afghanistan adalah antara perlawanan pemanas badan terakhir skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki 2016 yang akan berlangsung dari 19 November hingga 17 Disember ini. - SA