T-Team Mara Final Piala Presiden 2016

Posted on Wednesday, October 12, 2016 | 10/12/2016



T-Team mencipta sejarah apabila melangkah ke perlawanan akhir Piala Presiden selepas seri 0-0 dengan Perak dalam separuh akhir kedua di Kuala Terengganu, petang ini, sekali gus mara dengan kemenangan agregat 3-1.

Peluang The Young Titans hadir seawal minit ketiga, namun sepakan percuma yang diambil tonggak skuad B-22 negara, Mohd Zarulizwan Mazlan, ditepis keluar penjaga gol Perak, Muhammad Fazrin Jamaludin.

Pada minit ke-15, tuan rumah sekali lagi memperoleh kesempatan, namun gerakan Muhammad Naqib Najwan yang melepasi pertahanan The Bos Gaurus dari sebelah kanan, terlewat membuat tindakan penyudah.

Usaha Perak mencari gol terus terbantut dan peluang terbaik hanya muncul pada masa kecederaan babak pertama menerusi sepakan percuma Ahmad Khairil Anuar, namun tersasar.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat tampil lebih agresif, menyaksikan sepakan leret Muhammad Amirul Waie pada minit ke-57 mudah ditangkap kemas penjaga gol T-Team, Mohd Asyraf Azmi.

Pertahanan Perak, G. Ganiesh, terus menguji Mohd Asyraf, namun dua percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-73 dan minit ke-86, tinggi melepasi palang gol T-Team.

Pada penghujung perlawanan, T-Team hampir memecah kebuntuan tetapi percubaan jarak dekat Azrul Amri Ishak pada minit ke-88, sekadar mengenai palang gol.

Perak terus tertekan dan akhirnya menamatkan perlawanan dengan 10 pemain, selepas Muhamad Syazwan Zaipol Bahari dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-89.

Dengan kejayaan itu, anak-anak buah Mohd Nafuzi Zain, menempah pertemuan dengan juara bertahan, Kelantan, yang mengatasi Selangor, dalam final yang akan berlangsung pada 18 dan 25 Oktober ini. - SA


Blog, Updated at: 10/12/2016

0 comments:

Loading...