Zizan Razak & Mat Dan Mahu Jadi Kebanggaan Malaysia


DIBEZAKAN melalui budaya dan warna kulit, namun ada yang menyatukan dua insan ini. Menyebut nama Zizan Razak dan Mat Dan dua anak muda ini fasih menggunakan loghat Terengganu.

Untuk Zizan, bukan sesuatu yang pelik kerana lahir sebagai anak jati negeri itu. Bagi mat salih yang dikenali sebagai Mat Dan yang berasal dari Britain pula, tentunya kelebihan ini menyebabkan dia dikenali dalam jangka waktu yang singkat.
Dalam diri Mat Dan, Malaysia ini terlalu istimewa dan tidak wajar ditinggalkan.

Bercakap soal Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada hari ini, tidak dinafikan keduanya mempunyai perspektif yang berbeza.

Hampir 32 tahun menghuni di bumi bertuah ini, Zizan misalnya terus berharap agar keamanan kekal menjadi teras utama perpaduan negara

“Negara kita semakin dikenali, seharusnya rakyat juga mesti terus positif untuk memastikan negara ini tidak terusik dengan niat-niat jahat dari pihak luar.

“Memang kita dengar macam-macam versi tentang negara kita kini. Tetapi hakikatnya Malaysia masih selamat dan kita juga masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya bangga.

Janji Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Abdul Razak, dia akan terus mencari peluang untuk membanggakan negaranya.

“Apa yang sedang kita nikmati ini bukan datang dengan percuma. Jadi tidak salah rasanya untuk kita sama-sama menghargainya. Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah, dan saya sendiri sangat bangga untuk bergelar anak Malaysia,” katanya.

Antara kelebihan yang dimiliki Zizan adalah sifatnya yang mudah bercampur masyarakat. Ditanya sama ada impiannya hanya untuk dikenali sebagai seorang anak seni, ternyata Zizan mempunyai impian yang lebih padu pada masa hadapan.

“Pernah juga terfikir untuk terjun dalam bidang politik, tetapi saya tahu itu bukan mudah. Saya perlukan pengetahuan yang jauh lebih luas. Namun jangan salah anggap, bagi saya apa yang memudahkan untuk saya terjun dalam bidang ini adalah melalui kehidupan saya yang sebelum ini juga rakyat biasa. Jadi kemahuan rakyat itu saya lebih faham sebab pernah berada di tempat mereka, malah sehingga kini juga.

“Dalam masa yang sama, dikenali sebagai artis juga memudahkan saya rapat dengan orang setempat. Saya anggap itu kelebihan buat saya.

“Sebenarnya untuk membantu tidak perlu tunggu mana-mana pihak pun, sebab kita boleh mulakan dari sekarang,” katanya panjang lebar.

Di sini Mat Dan jatuh cinta

Tujuh tahun berada di bumi Malaysia, sudah cukup membuatkan mat salih berjiwa Melayu, Mat Dan mencintai Malaysia sepenuh jiwa raga.

Perjalanan hidupnya yang bermula hanya sebagai pengembara akhirnya melakar sejarah baru yang tidak pernah difikir sepanjang usia.

Bukan kerana sudah bertemu cinta hati, tetapi budaya Melayu yang baik budi dan gemar meraikan tetamu, mengikat kasih Mat Dan kepada negara ini.

Lantas Pulau Kapas, Terengganu yang menjadi singgahan pertama Mat Dan ketika menjejakkan kaki ke Malaysia, menjadi tapak untuk jejaka kelahiran Bristol, Britain ini menginap.

Dan selama tujuh tahun yang manis, mat salih yang nama sebenarnya Daniel Tyler, 27, ini begitu menyukai Terengganu.

Dalam tempoh tersebut, dia gigih mempelajari budaya negeri Terengganu sehingga mampu menguasai loghat Pantai Timur ini dengan fasih.

Malah, setiap kali bertemu dengan orang Melayu, pemuda ini jarang sekali berbahasa Inggeris, sebaliknya bertutur dengan loghat Terengganu yang pekat.

Mat Dan mengakui cukup sayangkan Malaysia. Perkara utama yang menambat hatinya ialah keramahan dan penerimaan penduduk kepada orang luar sepertinya.

“Penduduk Pulau Kapas tak menganggap saya orang asing. Mereka menerima saya seadanya, seorang mat salih yang datang bercuti. Rancangan asal saya hanya mahu tinggal sebulan dan kemudian mencari kerja di Australia. Rupa-rupanya terus terlajak sehingga tujuh tahun.

“Sebabnya ialah saya cukup seronok tinggal di pulau itu kerana ada segala yang saya mahu. Rakan-rakan yang baik, keluarga angkat dan suasana yang mendamaikan.

“Sebagai orang luar saya melihat satu keunikan yang tiada pada negara lain, iaitu keharmonian tiga bangsa utama, Melayu, Cina dan India. Tidak ada negara di dunia seperti apa yang terdapat di Malaysia.

“Tiga kaum utama ini hidup dalam harmoni, saling menghormati dan bersatu dalam pelbagai perkara.

“Jadi, keunikan beginilah yang memberi saya satu perasaan aman dan bahagia untuk kekal berada di Malaysia. Di sini kasih dan cinta saya tertumpah.

“Sebagai orang luar, saya berasa selesa dengan suasana dan masyarakatnya yang tidak bersikap prejudis dan menerima saya seadanya,” kata Mat Dan.

Peluk Islam

Selama berada di Pulau Kapas, Mat Dan bersikap ‘ringan tulang’ dengan membantu masyarakat sekitar dan menghulurkan tenaga apabila diminta. Lantas, dia kerap menerima jemputan makan secara percuma dan diberi tempat tinggal sebagai tetamu.

Dari situ, pergaulannya terbuka luas sehingga dia menjadi sebahagian daripada penduduk Pulau Kapas.

Pada 2012, Mat Dan terbuka hati memeluk Islam dengan menggunakan nama Kareef Daniel Abdullah.

Selepas popular menerusi media sosial gara-gara kefasihan loghat Terengganunya, Mat Dan dipinang sebagai pengacara bagi rancangan travelog, Haramain Backpackers bagi siaran Oasis dan berpeluang mengerjakan umrah.

Dia juga akan muncul di Astro Prima menerusi program Mat Dan Kaki Jalan yang memfokus kepada penggembaraannya dari United Kingdom ke Malaysia.

Zizan bakal pelumba handal

Tidak sekadar menyerlah dalam bidang seni, kini Zizan mengorak langkah sebagai pelumba kereta pula. Memang hebat sungguh. Malah, jangan tidak tahu, dia sudah pun mencatat kejayaan sulung yang dilakar baru-baru ini.

Dia mewakili pasukan lumba kereta Mayhem-FX bersama-sama dengan Keifli Othman, Tengku Djan Ley dan Faye Kusairi untuk perlumbaan Sepang 1,000 KM Endurance Race pada 4 September lalu. Ia adalah kenangan yang sangat manis bagi team tersebut.

Pada perlumbaan tersebut mereka menggunakan jentera Proton Suprima S.

“Tiada yang lebih manis untuk kami apabila berjaya meraih tempat pertama sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM25,000,” katanya dengan penuh rasa bangga.

Kemenangan pada perlumbaan itu, jelas Zizan, adalah langkah pertamanya untuk meneruskan cita-cita menjadi seorang pelumba handal.

Cita-cita itu sudah pasti memerlukan masa terutamanya bagi sesi latihan yang memakan masa berbulan lamanya.

Namun, fokus pada bidang seninya tidak terganggu dan perancangan sudah diatur sebaik mungkin untuk melaraskan semuanya secara serentak.

“Insya-Allah, semuanya akan saya lakukan dengan sebaik mungkin. Lagipun menjadi pelumba ini bukan sahaja masa, tetapi juga risiko kecederaan. Semua itu telah saya teliti dengan sebaik mungkin. Lagipun persediaan secara mental dan fizikal juga telah dilakukan. Jadi perkara ini bukan sahaja membantu di litar perlumbaan tetapi juga dalam lapangan seni saya,” katanya.

Perlumbaan itu menyaksikan kereta-kereta di bawah 1,600 cc berentap. Penyertaan kali ini turut membabitkan pelumba dari luar negara termasuk Australia dan Jepun.

Menimba ilmu dari pelumba kereta negara, Zizan ternyata berada di landasan yang betul.

Menurut Keifli yang merupakan pengurus pasukan tersebut, peluang untuk berkongsi pengalaman dengan Zizan membuatkan dia yakin, anak kelahiran Terengganu ini mempunyai potensi yang besar dalam sukan perlumbaan kereta.

“Melihat keinginan dia untuk berlumba kereta pada awalnya buat saya yakin dengan kemampuan dia. Dalam waktu yang singkat sahaja dia boleh menguasai ilmu yang dikongsi.

“Saya yakin Zizan tidak sekadar main-main dalam sukan lumba kereta ini. Melihat dari awal pembabitannya, saya yakin dengan kejayaan yang akan dia capai,” katanya.

Keifli yakin ada tempat untuk Zizan mengembangkan bakatnya lebih jauh.

“Saya melihat semangat dalam diri Zizan, semua anak muda wajar mencontohi dia. Dia punya cita-cita dan dia kejar cita-cita dia sampai berjaya. Semangat sebegitu kalau ada dalam diri semua anak muda, akan lebih memberi makna,” katanya. - UTS