Putrajaya: Jaguh berbasikal lebuh raya negara Anuar Manan dinobat sebagai Raja Kriterium Elit apabila berjaya menewaskan 37 peserta lain pada edisi keenam penganjuran Junior Cycling Malaysia, semalam.
Pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG) dari Kuala Terengganu itu berjaya membawa pulang wang tunai RM1,500, pingat dan cermin mata jenama Oakley.
Anuar ketika ditemui semalam berkata, ia kemenangan yang tidak disangka kerana setiap pelumba berpotensi untuk bergelar Raja Kriterium Elit namun, gelaran itu menjadi miliknya apabila berjaya mengumpul mata tertinggi sekali gus mengungguli pelumba lain.
Menurutnya, kemenangan itu hasil kerjasama dan sokongan semua ahli TSG yang banyak membantu terutama pada sesi latihan dan pendedahan dalam beberapa pertandingan.
“Kejayaan ini melonjakkan semangat dan keyakinan saya untuk menghadapi beberapa lagi kejohanan terutama pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur kelak, malah pertandingan seperti ini juga sebagai latihan tambahan untuk persediaan bagi kejohanan lain.
“Saya juga berjaya mencapai sasaran TSG untuk menjuarai setiap pertandingan yang diadakan dalam negara sekali gus memberi kesan positif kepada pelumba TSG lain untuk menyahut cabaran ini,” katanya.
Menurutnya, kejohanan kali ini antara kejohanan yang mencabar ketahanan dan kekuatannya kerana setiap pelumba bagi Raja Kriterium Elit adalah pelumba yang berpengalaman luas dalam sukan berbasikal lebuh raya.
Anuar berkata, permukaan jalan raya di Putrajaya adalah antara yang terbaik dan sesuai untuk acara berbasikal dan ia juga salah satu penyumbang kepada kejayaannya.
Terdahulu, seramai 800 peserta menyertai Junior Cycling Malaysia terdiri daripada kanak-kanak seawal dua tahun hingga 45 tahun yang dianjurkan sempena sambutan Hari Sukan Negara.
Sebanyak 20 kategori dipertandingkan iaitu ‘push bike’ bagi kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun; lelaki dan perempuan bawah sembilan tahun, B-11, B-13, B-15, B-17, B-19, elit dan lelaki master kelas satu dan dua.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail turut berkesempatan melepaskan peserta termasuk menyampaikan hadiah kepada pemenang. - HM