Jocinei Schad Mungkir Janji, Mazetti Latini Gagal Ujian Kesihatan

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengesahkan mereka terpaksa membatalkan niat untuk menandatangani pemain import dari Brazil, Jocinei Schad, selepas pemain tengah itu menolak tawaran kontrak untuk menyertai Sang Penyu, musim depan.

“Pada awalnya, dia (Jocinei) telah bersetuju untuk bersama Terengganu, namun merubah pendiriannya kerana menerima tawaran yang lebih lumayan dari kelab di Liga Portugal.

“Malah, persetujuan telah dicapai dan pemain itu sepatutnya tiba di Kuala Terengganu, semalam, untuk menjalani ujian perubatan.

“Namun, dia mungkir janji dan seakan-akan bermain tarik-tali dengan permintaan gaji yang lebih tinggi, jadi kami membuat keputusan untuk membatalkan hasrat mendapatkan Jocinei,” kata Irfan.

Selain Jocinei, 26, awang import dari Argentina, Mauricio Mazzetti, 30, juga tidak akan bersama Terengganu selepas pemain pertahanan itu gagal dalam ujian perubatannya, kelmarin.

“Meskipun dia (Mazzetti) sudah menjalani latihan bersama pasukan ini sejak beberapa hari lalu, rekod kecederaannya nampak sedikit menganggu persembahan pemain itu.

“Saya tidak akan memperjudikan nasib Terengganu dan tidak akan mengambil pemain yang mempunyai masalah kecederaan.

“Selain Federico Falcone yang sudah sah akan bersama Terengganu, dua pemain import baharu dari Amerika Selatan akan tiba bagi menggantikan Jocinei dan Mazzetti, awal Januari ini,” ujar ketua jurulatih berpengalaman itu lagi. - SAstro