Terengganu, T-Team Terima Peruntukkan Lebih 30juta


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, menjangkakan lebih RM30 juta bakal diperuntukkan untuk mengurus perbelanjaan dua pasukan, T-Team dan Terengganu, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.

“Status bajet 2017 belum diputuskan kerana masih dalam proses rundingan terakhir tetapi kami sedia maklum kos mengurus pasukan dalam Liga M semakin meningkat dari setahun ke setahun.

“Untuk musim lepas sahaja, kami telah membelanjakan tidak kurang daripada RM30 juta untuk kedua-dua pasukan ini, jadi sudah pasti jumlah itu akan meningkat untuk musim ini.

“Pengurusan kewangan yang digunakan sudah berkonsepkan penswastaan di mana kerajaan negeri membantu mendapatkan sumber tajaan daripada pihak-pihak penaja dan secara tidak langsung meringankan beban kerajaan negeri.

“Melalui sumber itu, pasukan kemudian akan mengeluarkan barangan untuk menjana pendapatan tetapi ia harus selari dengan prestasi cemerlang yang perlu ditunjukkan pasukan untuk mendapatkan sokongan peminat,” ujarnya.

Ahmad Razif, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), turut melaungkan amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan mana-mana pemain T-Team dan Terengganu yang gagal menampilkan persembahan terbaik.

“Ketua jurulatih diletakkan 100 peratus kepercayaan dan beliau yang akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dua pasukan ini.

“Kami tidak akan berkompromi dan akan menggantikan mana-mana pemain sekiranya mereka menunjukkan prestasi yang tidak memberangsangkan.

“Pihak pengurusan juga berkongsi harapan yang sama bersama peminat, iaitu menjulang sekurang-kurangnya satu kejuaraan bagi musim 2017,” tambah Ahmad Razif ketika Majlis Memperkenalkan Pasukan Bola Sepak dan Hoki Terengganu di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, petang tadi. - Arena