Makan Konate Belum Pulih Sepenuhnya


Kuala Terengganu: Harapan T-Team untuk menggunakan khidmat bekas pemain importnya musim lalu, Makan Konate dilihat kian tipis selepas pemain itu belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ketika tarikh tutup jendela kedua perpindahan pemain semakin suntuk.

Hal itu diakui ketua jurulatihnya Rahmad Darmawan yang tidak mahu memperjudikan nasib pasukannya sekiranya menyenaraikan pemain lincah kelahiran Bamako, Mali itu.

“Keputusan sama ada The Titans akan gunakan khidmat Konate adalah 50-50 kerana pemain itu masih lagi dalam tempoh rawatan dan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Bagaimanapun Konate yang sudah mula menjalani latihan ringan bersama T-Team sejak kelmarin masih berpeluang menyarung jersi pasukan sebelum tempoh pendaftaran terakhir pada 11 Jun ini (Ahad ini) sekiranya laporan perubatan mengesahkan dia bebas daripada kecederaan,” katanya.

Musim lalu pemain serba boleh itu terpaksa menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan serius di lutut selepas separuh akhir Piala Malaysia.

Mengulas lanjut, Rahmad yang baru memulakan latihan pertama pasukannya sejak kelmarin selepas bercuti 10 hari tidak menolak kemungkinan membawa masuk pemain import baru jika Konate gagal pulih sepenuhnya dalam masa terdekat. - Harian Metro