Kipre Tchetche Sedia Berdepan Cabaran Liga Malaysia


Kuala Terengganu: Penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche, melengkapkan kuota pemain import Terengganu dengan menandatangani kontrak enam bulan, hari ini.

Tchetche, 29, akan mengetuai jentera serangan Sang Penyu berikutan kekosongan ditinggalkan Federico Falcone yang digugurkan.

Menjaringkan 17 gol bersama Al Suwaiq dalam liga utama Oman musim ini, malah menjuarai Piala Sultan Oman, minggu lalu, Tchetche bersedia berdepan cabaran di Malaysia.

Menurutnya, ini masa yang sesuai untuknya berhijrah dan menimba pengalaman baharu dengan landskap bola sepak yang berbeza.

“Terengganu bercita-cita kembali ke Liga Super dan saya berkongsi impian itu untuk beraksi di peringkat tertinggi di negara ini. Itu yang membawa saya ke sini.

“Penyokong pasukan di Oman membantah penghijrahan ini, namun saya sentiasa mencari cabaran baharu untuk mengembangkan karier,” ujar Tchetche.

Bagi pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, dia kini berasa lega dengan tumpuan selepas ini akan diberikan untuk membentuk persefahaman bersama pasukannya.

“Semestinya barisan serangan kami lebih berbisa kerana Tchetche seorang penyerang prolifik dengan statistik dan rekod jaringan yang baik musim ini.

“Pencapaian separuh akhir Piala FA mahu diteruskan dengan sasaran untuk mara ke final Piala Malaysia, tidak mustahil kami mampu dengan barisan baharu ini.
 
“Namun, harus diingat keutamaan adalah untuk kembali ke Liga Super,” kata Irfan lagi.

Kehadiran Tchetche turut disertai pemain tengah dari Brazil, Gabriel Davis dos Santos.

Pemain berusia 28 tahun itu dipilih menggantikan Lutfulla Turaev dan sudah menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan baharunya sejak kelmarin.

Dalam perkembangan sama, tiga pemain tempatan turut disunting Terengganu, iaitu penjaga gol Sungai Ara FC, Mohd Faizal Mohd Yusoff, 30, pemain sayap Felda United, Mohd Ridzuan Abdunloh, 23, dan Azi Shahril Azmi, 32, dari Felcra FC. - Arena