Kuala Terengganu: Beraksi dalam Liga Perdana tidak menghalang awang import baharu, Gabriel Davis dos Santos, menyertai Terengganu sambil berikrar membawa pasukan itu ke kancah Liga Super, musim depan.
Menurutnya, meskipun tidak lagi berada dalam liga utama, itu tidak memberi masalah, sebaliknya yakin Terengganu di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim, masih sebuah pasukan yang bagus.
“Ini adalah peluang terbaik untuk beraksi di Malaysia dan saya dapat lihat pemain-pemain dalam pasukan ini adalah pemain yang bagus.
“Saya pernah datang bercuti ke negara ini pada 2014, malah menonton beberapa perlawanan, dan kini menjadi sebahagian daripada liga ini, saya akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Selain beraksi di posisi kegemarannya, iaitu posisi nombor 10, Gabriel, 28, juga mampu menggalas tugas selaku penggempur utama dengan kelebihan larian pantasnya.
Kehadiran rakan senegara, Lazaro Vinicius, lebih awal ke Terengganu juga diharap dapat membantunya menyesuaikan diri dengan cepat.
“Sangat bagus mempunyai rakan yang boleh berkomunikasi untuk meningkatkan persefahaman dalam pasukan. Jadi, saya gembira datang ke sini.
“Saya mahu menjaringkan gol dan saya perlu menjaringkan gol,” tambah Gabriel lagi. - Arena