Terengganu Atasi Melaka, Jadi Negeri Terbersih Di Malaysia


Melaka: Status Melaka sebagai negeri terbersih di Malaysia kini jatuh ke tangga keempat, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Sazali Muhd. Din.

Negeri Terengganu pula telah melonjak ke tangga teratas menurut satu senarai yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, diikuti Perak dan Pulau Pinang. Sabah pula berada di tangga keempat selepas Melaka.


Sazali berkata, kedudukan Melaka jatuh disebabkan oleh penurunan tahap kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan di kalangan orang awam.

Beliau berkata, pengguna jalan raya yang membuang sampah daripada kenderaan turut menyumbang kepada kegagalan Melaka mempertahankan status sebagai negeri terbersih.

“Dari segi kempen kebersihan, ia merupakan usaha yang berterusan dan kita tidak menghadapi sebarang masalah untuk melaksanakannya.

“Sama juga mengenai aktiviti mengumpulkan sampah di seluruh negeri,” katanya ketika Majlis Pelancaran Kempen Don’t Mess With Melaka “Jangan Membuang Sampah Dari Kenderaan” anjuran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Melaka Mall, hari ini.

Turut hadir Presiden MPHTJ, Datuk Murad Husin.

Sazali berkata, kerajaan negeri akan terus melaksanakan kempen bagi memberi kesedaran bahawa tugas menjaga kebersihan bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan sahaja malah turut melibatkan kerjasama daripada orang awam.

Sementara itu, Murad berkata puntung-puntung rokok dan pembalut makanan merupakan sampah yang paling banyak dibuang dari kenderaan.

Beliau berkata, tidak kurang 1,000kg sampah yang dibuang daripada pengguna jalan raya, berjaya dikumpulkan setiap bulan sejak MPHTJ memperkenalkan unit pengutip sampah bermotosikal pada Disember 2016.

“Bermula Januari hingga Mei 2017, MPHTJ telah mengeluarkan kompaun kerana menbuang sampah merata-rata,” katanya.

Beliau memberi peringatan, pengguna jalan raya akan didenda serta-merta oleh pihak berkuasa jika ditangkap membuang sampah dari kenderaan di kawasan kelolaan MPHTJ

Katanya, setiap kesalahan akan didenda antara RM150 sehingga RM500 di bawah undang-undang kerajaan tempatan. - SUMBER: The Star Online