Kemuncak Liga Perdana Semakin Panassss!


Semakin hari semakin berdebar pasukan manakah yang akan menjulang gelaran juara Liga Perdana?

Begitulah persaingan sengit empat pasukan dalam Liga Perdana, iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan dan PKNP.

Kedudukan di tangga teratas liga sering bertukar ganti di antara Kuala Lumpur dan Terengganu sementara Negeri Sembilan dan PKNP mengekori rapat.

Keempat-empat pasukan ini tidak boleh melakukan kesilapan pada saat-saat akhir kerana berbaki empat perlawanan sahaja lagi untuk menentukan pasukan mana yang akan menjuarainya serta layak ke saingan Liga Super.

Dalam keadaan beginilah, kekuatan mental dan tumpuan dalam  setiap perlawanan amat penting kepada pemain-pemain dan mereka tidak boleh alpa walaupun sesaat.

Kekuatan dalaman, terutama daripada persiapan psikologi dan komunikasi serta keharmonian dalam pasukan amat ditagih dan perlu dijaga ketika ini.

Pihak pengurusan perlu turut memainkan peranan turun bersemuka dengan pemain untuk terus memberi sokongan pada saat-saat ini.

Mereka pemain-pemain ibarat anak yang memerlukan perhatian daripada bapanya. Begitu juga dengan pemain-pemain bola sepak.

Dalam keadaan begini, pasti mereka berasa gemuruh dan tekanan kerana harapan peminat dan pengurusan terletak di bahu mereka.

Inilah masanya sokongan tanpa berbelah-bahagi perlu ditunjukan walau apapun terjadi nyatakan bahawa pihak pengurusan tetap bersama mereka.

Carilah inisiatif yang boleh menaikan semangat pemain-pemain untuk terus berjuang sehingga perlawanan terakhir mereka.

Bagi peminat-peminat pula, berdiri terus di belakang pemain-pemain memberi sorakan, jangan menambahkan tekanan kepada pemain-pemain ini kerana mereka tahu tugas dan peranan mereka di atas padang adalah untuk memberi kepuasan dan kegembiraan kepada peminat-peminat.

Ini bukan tugas yang mudah untuk pemain-pemain keempat-empat pasukan itu --konsentrasi, komunikasi dan keharmonian perlu dijaga untuk mengawal emosi diri demi kejayaan pasukan dan peribadi.

Penulis ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada keempat-empat pasukan yang bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana 2017.

Jangan biarkan emosi mengganggu diri untuk menjulang maruah diri dan pasukan serta lencana di dada. - Hasnizam Uzir (Arena)