Terengganu Tidak Boleh Keciciran Mata Lagi - Kipre Tchetche

Posted on Monday, July 24, 2017 | 7/24/2017



Kuala Lumpur: Kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Liga Perdana baru-baru ini meletakkan Terengganu kekal di tangga teratas dengan perbezaan satu mata dengan pasukan di tangga kedua, Negeri Sembilan.

Persaingan sengit antara empat pasukan teratas kini melibatkan Terengganu, Kuala Lumpur, PKNP dan Negeri Sembilan dengan menyaksikan jurang mata antara setiap pasukan tidak banyak berbeza.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu masih mempunyai baki lima perlawanan dan penyerang import, Tchetche Kipre, yakin peluang untuk menjuarai Liga Perdana dan layak ke saingan Liga Super musim depan bakal menjadi kenyataan andai rakan sepasukannya tidak melakukan sebarang kesilapan mencicirkan mata.

"Jika kami meneruskan rentak kemenangan, tidak menoleh ke belakang dan terus berusaha keras, saya rasa kami akan beraksi dalam Liga Super musim depan," katanya.

Dalam masa sama, Irfan menyifatkan kemenangan ke atas Kuala Lumpur diraih hasil daripada disiplin yang ditunjukkan oleh pemain-pemain.

"Kami sudah tidak balik ke Terengganu selama enam hari, dari Sarawak terus ke sini (Kuala Lumpur), jadi kebanyakan pemain masih segar dan mendapat rehat yang mencukupi," katanya.

Terengganu meraih 37 mata hasil daripada 17 perlawanan, berbanding Negeri Sembilan (36), Kuala Lumpur (35) dan PKNP (34).

Terengganu akan menerima kunjungan Negeri Sembilan malam esok dan perlawanan yang paling penting bagi kedua-dua pasukan bagi menjarakkan kedudukan sementara Kuala Lumpur & PKNP juga mengekori rapat carta kedudukan. - Arena
Blog, Updated at: 7/24/2017