Asrol Ibrahim Sudah Temui Rentak Bersama T-Team FC

Posted on Saturday, August 05, 2017 | 8/05/2017



Kuala Terengganu: Pemain tengah T-Team, Mohd Asrol Ibrahim, menyifatkan dia sudah menemui sentuhannya sambil bertekad meneruskan aksi terbaik bertemu Melaka United dalam saingan Liga Super, malam esok.

Asrol, 30, mengakui berdepan kesukaran untuk memulihkan prestasinya selepas enam bulan diperam pasukan terdahulu dan hanya mendapat keyakinan selepas kembali bersama T-Team.

Kejayaan membenam Negeri Sembilan 4-1 pada Selasa lalu, ujarnya, turut menaikkan semangat pasukan berstatus kelab itu yang dilanda prestasi tidak menentu sejak bulan lalu.

Justeru, kemenangan itu, menurut Asrol lagi, perlu dijadikan pemangkin semangat serta titik kebangkitan untuk menjarakkan diri dari zon bawahan liga.

“Kini, saya kembali mendapat keyakinan dan akan terus memberi sumbangan kepada pasukan selepas peluang beraksi yang sangat terhad selama separuh musim (bersama Terengganu).

“Secara berpasukan, kami mula menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit. Namun, beberapa kelemahan ketara masih perlu diperbaiki untuk menewaskan Melaka,” ujarnya.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, pula memberi bayangan akan mengekalkan sebahagian besar kesebelasan utamanya yang beraksi pada pertengahan minggu ini.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu juga menuntut pasukannya memanfaatkan status selaku tuan rumah selain mengharapkan keputusan perlawanan lain akan memberi kelebihan kepada The Titans.

“Beberapa pasukan di bawah akan bertemu sesama sendiri dan kami memerlukan sekurang-kurangnya lima mata lagi untuk selamat.

“Melaka kini pasukan berbeza yang kami tewaskan dalam pusingan pertama kerana memiliki ketua jurulatih baharu serta menukar pemain import mereka,” tambah Rahmad. - Arena
Blog, Updated at: 8/05/2017
Loading...