Jangan Ulangi Kesilapan Seperti Itu Lagi - Irfan Bakti


"Jangan lagi ulangi kesilapan ini."

Itu reaksi pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, selepas mereka gagal mempertahankan kelebihan dua gol untuk sekadar seri 3-3 dengan Sarawak dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Menurut Irfan, situasi itu tidak seharusnya berlaku dengan Terengganu dilihat selesa membawa kedudukan 3-1 sehingga tamat babak pertama.


Jentera tengah juga, ujarnya, bergelut untuk segera menutup ruang sehingga membenarkan pemain lawan membolosi pintu gol mereka.

“Kami sudah mendahului melalui tiga gol cantik. Namun, pada masa yang sama melepaskan tiga gol mudah.

“Saya tidak menyalahkan barisan pertahanan kerana pemain tengah lambat memberi tekanan kepada lawan.

“Perlawanan ini adalah ujian untuk bertemu MISC-MIFA (Liga Perdana) dan jangan ulangi kesilapan sebegini,” tegas Irfan lagi.

Meskipun sekadar aksi pelengkap jadual, kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan utama, yang menyaksikan tuan rumah mendahului menerusi jaringan Issey Farran Nakajima pada minit ke-25.

Tiga minit kemudian, Kipre Tchetche menggandakan jaringan selepas menyudahkan hantaran Mohd Faiz Mohd Nasir dari sebelah kiri.

Sarawak mengubah kedudukan 1-2 pada minit ke-35 apabila penyerang import, Mateo Roskam, menyambung sepakan penjuru Tommy Mawat Bada.

Tchetche menjaringkan gol kedua peribadi dan ketiga pasukannya hasil gerakan menarik mengatasi pertahanan lawan untuk menewaskan Mohd Shahril Sa’ari pada minit ke-42.

Pelawat menunjukkan kebangkitan pada babak berikutnya dan pemain gantian, Abdul Rahim Abdul Razak, menjadikan kedudukan 2-3 selepas menerima umpanan Roskam pada minit ke-60.

Dominasi ditunjukkan skuad kendalian Pengiran Bala itu membuahkan hasil apabila rembatan lencong Milos Raickovic dari luar kotak penalti memberikan gol penyamaan pada minit ke-83. - Arena