Jersi Terengganu FC Mula Dijual 3 Februari


Jersi Terengganu FC (TFC) dan TFC 2 akan dijual bermula pada 3 Februari ini sempena perlawanan pertama TFC menentang PKNS di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu.

Pengarah Urusan Kobertbell Marketing (M) Sdn Bhd, Faeez Asry Yusof selaku pengeluar rasmi jersi pasukan tersebut berkata, terdapat dua versi iaitu versi peminat dan versi pemain yang akan dijual kepada peminat bola sepak negeri.

Katanya, bagi keluaran pertama hanya versi peminat sahaja yang akan dijual dan penjualannya amat terhad.

"Pada 3 Februari ini, sebanyak 1,000 helai jersi utama pasukan versi peminat akan dijual di Kobert Store dan melalui empat agen berdaftar yang boleh dibeli di SSINS pada hari perlawanan.

"Manakala bagi jersi pelawat dan versi pemain pula, ianya akan mula dijual pada 9 Februari ini pada perlawanan menentang Selangor," katanya kepada Teganukita, hari ini.

Tambah Faeez, harga yang ditawarkan bagi versi peminat adalah RM69.90, manakala bagi versi pemain pula berharga RM99.90.

"Pada musim sebelumnya, versi pemain dijual dengan harga RM129.90. Atas permintaan daripada peminat, kita kurangkan harga sebagai tanda sokongan kepada pasukan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Faeez mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana memberi kepercayaan kepada pihaknya untuk menjadi pengeluar rasmi jersi pasukan Terengganu bagi musim 2018 dan 2019. - teganukita