Lee Jun-hyeob Hero Terengganu FC, Apa Sudah Jadi Terengganu FC II?


SEREMBAN: Terengganu FC (TFC) membuktikan mereka memiliki kekuatan tersendiri apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ia kekalahan ketiga Negeri Sembilan selepas sebelum ini tunduk kepada PKNP FC dan Melaka United (MU) dengan kemenangan membenarkan TFC untuk menerajui takhta liga berikutan ia satu-satunya aksi Liga Super yang berlangsung, hari ini.

TFC yang turun dengan misi memadam rekod buruk sudah melakukan asakan ke kubu Negeri Sembilan seawal permainan menerusi gandingan barisan depan mereka yang dikemudi Lee Tuck, Ashari Samsudin dan Tchethe Hermann.

Ketika anak buah Jorg Steinebrunner cuba menyusun rentak, gawang mereka dikejutkan dengan jaringan penyerang berpengalaman Terengganu, Mohd Ashari Samsudin pada minit ke-11.

Dia yang menerima hantaran Hermann dari sebelah kiri mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Ilham Abdullah, untuk meletakkan skuad Penyu di depan.

Jaringan itu membangkitkan semangat anak buah Irfan Bakti Abu Salim untuk menambah gol, namun rembatan Lee Tuck dari luar kotak penalti pada minit ke-29 bagaimanapun dapat diselamatkan Muhammad Ilham.

Lee Tuck terus menjadi ancaman buat kubu Negeri Sembilan apabila beberapa gerakan merbahaya mengucar kacirkan pertahanan pasukan itu dan pada minit ke-36, Ashari melakukan gerakan solo, namun percubaan keduanya ke arah pintu gol tuan rumah, sedikit tersasar.

Negeri Sembilan yang cuba menyusun rentak sebaik perlawanan bersambung berpeluang menyamakan kedudukan tetapi sepakan Do Heon dari dalam kotak penalti pada minit ke-50, tidak menjadi.

Bagaimanapun usaha mereka mendapatkan gol akhirnya berhasil apabila Muhamad Fakrul Aiman Sidid menanduk deras bola hantaran lintang Do Heon pada minit ke-72, sekali gus menewaskan Mohd Sufian Rahman untuk terikat 1-1.

Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pemain gantian Junhyeab Lee memanfaatkan kesilapan pertahanan Negeri Sembilan untuk meledak gol kedua Terengganu pada minit ke-83 yang juga gol kemenangan skuad Penyu.

Terengganu FC II (TFC II) terus buntu merakam kemenangan sulung apabila tewas 2-3 di laman sendiri  kepada UiTM FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pelawat terlebih dulu mengejutkan tuan rumah hasil tandukan pemain importnya, Bakary Dao menewaskan penjaga gol, Amierul Hakimi Awang pada minit ke-16.

Sejurus jaringan itu, TFC II yang belum mencatat sebarang kemenangan selepas mengharungi tiga perlawanan cuba bangkit, namun gagal menembusi kubu pihak lawan.

Pada minit ke-19, pelawat hampir menambah gol kedua tetapi mujur penjaga gol, Amierul Hakimi sempat menyelamatkan gawangnya susulan rembatan Sadam Hashim.

Akanni Sunday Wasiu menceriakan kem TFC II apabila menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti selepas dijatuhkan pemain pertahanan UiTM FC pada minit ke-34.

Begitupun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pelawat kembali mendahului menerusi penyerang import kelahiran Argentina, Lucas Ramon Pugh yang menampan bola rembatan Dao minit ke-37.

Sunday Wasiu sekali lagi menjadi penyelamat apabila menanduk masuk gol kedua berpunca sepakan sudut Mohd Haidhir Suhaini pada masa tambahan babak pertama..

Bersambung babak kedua, pelawat melancarkan serangan awal menerusi percubaan Pugh yang mudah ke dakapan Amierul Hakimi minit ke-46.

Pada minit ke-58, Sunday Wasiu terlepas mencipta hatrik apabila hantaran lintang Bruno Junichi Suzuki ditanduk lemah kepada penjaga gol UiTM FC, Mohamad Soffuan Tawil.

Pugh yang pernah beraksi dengan skuad kebangsaan Argentina bawah 17 tahun muncul pemusnah apabila meledak gol kemenangan dengan memperdayakan pemain pertahanan sebelum mudah menolak masuk jaringan minit ke-80.  - Berita Harian