Irfan Bakti Pertaruhkan Kelibat Amirzafran


Pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, bakal diberi kepercayaan membuat penampilan kompetitif sulung bersama Terengganu FC (TFC) dalam saingan Piala FA, esok.

Menurut ketua jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim, kelibat bekas tonggak Harimau Muda itu akan menjadi taruhan digandingkan dengan Igor Zonjic untuk mengawal benteng pasukannya.

Situasi itu ditambah penggantungan Nasrullah Haniff Johan untuk aksi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), minggu depan, sekaligus memberi peluang kepada Amirzafran mendapatkan sentuhan awal.

“Amirzafran sentiasa memberikan yang terbaik semasa sesi latihan dan hanya menunggu masa untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Saya yakin dia sudah bersedia sekiranya diturunkan,” ujar pengendali berpengalaman itu.

Mengulas lanjut peluang TFC berdepan PJ Rangers di tempat lawan, Irfan memberitahu dia akan tetap menurunkan barisan terbaik bertemu kelab Liga FAM itu.

Bekas jurulatih Felda United itu juga berharap skuad bimbingannya melupakan seketika tumpuan bertemu JDT sebaliknya fokus pada aksi malam esok.

“Kami tidak boleh mengambil mudah cabaran PJ Rangers. Pemain-pemain perlu bermain dengan tumpuan yang sebenar serta disiplin yang tinggi seperti perlawanan-perlawanan lalu." - Arena