Felda United Tak Layan Permintaan Terengganu FC


"Jangan harap saya akan lepaskan mereka." Itu reaksi jurulatih Felda United, B. Sathianathan, apabila mengetahui hasrat jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim, yang mahu membuat pinjaman membabitkan dua pemainnya, iaitu Ahmad Syamim Yahya dan Hadin Azman.

Walaupun kedua-dua pemain itu bukan tonggak kesebelasan utama, itu sedikitpun tidak mendorong pengendali itu melepaskan mereka bagi memenuhi hasrat Sang Penyu.

Tegas Sathianathan, selagi kontrak pemain berkenaan masih dengan The Fighters, dia berhak menentukan sepenuhnya hala tuju kedua-dua anak buahnya itu sehingga penghujung tahun ini.

"Kalau kontrak setahun, mana boleh dipinjamkan. Selalunya terus ambil secara tetap tetapi dalam keadaan sekarang, mustahil kami akan melepaskan mereka.

"Jika pema"Jika pemain itu mahu pergi sekalipun, saya tidak akan mengizinkan.

"Terus-terang saya katakan, jika pemain itu berminat untuk pergi, saya tidak akan lepaskan.

"Kalau dia tidak bermain pun tidak mengapa, saya akan bayar gaji mereka sehingga November dan mereka akan kekal di sini kerana mereka perlu menghormati kontrak mereka," kata Sathianathan.

Sekalipun kelibat kedua-dua pemain itu jarang digunakan pada musim ini ekoran dia memiliki pilihan lain seperti Wan Zack Haikal Wan Noor mahu pun Christie Jayaseelan di bahagian tengah, namun mereka masih dalam agenda pengendali berpengalaman itu.

"Saya mengambil pemain-pemain ini kerana ia melibatkan perancangan jangka panjang walaupun saya sudah mempunyai Wan Zack dan Christie.

"Mereka akan diberi peluang kerana tiada seorang pemain yang akan beraksi dalam setiap perlawanan kerana kami berdepan 40 perlawanan dalam semusim.

"Permintaan Terengganu tidak boleh saya turuti buat masa sekarang. Jika ada pihak yang memaksa, saya tidak akan melepaskan.

"Saya jurulatih, bukan wakil pengurusan. Untuk Terengganu, cuba lagi tahun depan," katanya.

Terdahulu, Irfan menyatakan hasrat untuk meminjam dua tonggak tersebut bagi memperkasakan jentera seranganya yang melewati rombakan besar baru-baru ini. - Arena