Lee Tuck Menyesal Dan Mohon Maaf

Posted on Monday, August 13, 2018 | 8/13/2018



KUALA TERENGGANU: Di sebalik kemenangan tipis 4-3 skuad Terengganu FC (TFC) ke atas Perak dalam aksi kedua peringkat Kumpulan A saingan Piala Malaysia malam semalam, timbul rasa bersalah dan menyesal di hati arkitek skuad itu, Lee Tuck kerana tidak dapat membantu pasukannya berjuang hingga tamat perlawanan.

Hal ini kerana pemain kelahiran Halifax, England yang dilabel 'Rooney Ganu' diarahkan meninggalkan padang oleh pengadil pada minit ke-70 selepas menerima kad merah susulan kad kuning kedua dalam perlawanan itu kerana mengasari pemain skuad The Bos Gaurus.

“Saya minta maaf kepada pemain dan pihak pengurusan, sepatutnya situasi itu tidak berlaku terutama selepas menerima kad kuning kedua sekali gus kad merah, saya berasa bersalah dan menyesal dengan tindakan itu, seharusnya saya perlu lebih berhati-hati kerana ia boleh merugikan pasukan selepas kehilangan seorang pemain di dalam padang.

“Saya akui kesilapan itu adalah daripada diri saya sendiri, namun saya bersyukur dan berterima kasih kepada rakan sepasukan yang terus positif dan bekerja keras sepanjang dua puluh minit terakhir perlawanan walaupun terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain untuk mengutip tiga mata apatah lagi beraksi di tempat lawan.

“Secara jujur saya kagum dengan komitmen rakan sepasukan kerana berjaya mencatat kemenangan kedua berturut-turut dan lebih manis pemain tidak menjadikan alasan beraksi dengan sepuluh pemain biarpun sebenarnya bukan satu tugasan mudah, sebaliknya masih mampu meledak jaringan keempat selepas saya diarah keluar padang,” kata Tuck.

Dalam perlawanan itu, Tuck yang mula menyarung jersi skuad yang digelar Peteh Terengganu Peteh itu pada awal musim ini berjaya menyumbang satu gol buat pasukannya melalui sepakan penalti selain masing-masing satu jaringan menerusi Mohd Ashari Samsudin, Wan Amirzafran Wan Nadris dan Mohd Faiz Nasir untuk mendahului tuan rumah 4-0.

Namun kebangkitan lewat skuad The Bos Gaurus itu yang meledak tiga gol melalui Wander Luiz pada minit ke-85 dan 89 serta sepakan penalti bekas pemain T-Team, Leandro Dos Santos pada masa kecederaan hampir 'meragut' kemenangan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu.

“Kemenangan ini amat bermakna bagi kami biarpun hampir berputih mata, ini kerana kami berada dalam prestasi terbaik pada masa ini begitu juga tahap keyakinan rakan sepasukan tinggi walaupun setiap perlawanan adalah berbeza dan kami akan terus menjalani latihan dan persiapan rapi bertemu FELCRA FC Sabtu ini meskipun tanpa kehadiran saya yang digantung perlawanan,” kata pemain berusia 30 tahun itu yang beraksi cemerlang dalam perlawanan itu. - Berita Harian
Blog, Updated at: 8/13/2018

0 comments: