Waspada Dengan Felcra FC, Usah Lena Dibuai Mimpi Lagi


KUALA TERENGGANU: Pengendali Terenggganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengingatkan pemainnya agar membuang 'penyakit' cepat berpuas hati sebaliknya perlu lebih fokus apabila berdepan skuad pendatang baharu Liga Super musim depan, FELCRA FC dalam saingan Piala Malaysia Kumpulan A di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Selain itu pengendali yang pernah membimbing kelab Persipura Jayapura dalam Liga Indonesia pada 2007 itu turut menuntut anak buahnya lebih berwaspada dengan ancaman naib juara Liga Perdana itu biarpun skuad itu tewas 1-4 kepada Kuala Lumpur Ahad lalu.

Irfan Bakti berkata, kejayaan skuadnya melakar dua kemenangan berturut-turut ke atas Kuala Lumpur dan Perak mampu meningkatkan moral anak buahnya tapi beliau tidak mahu pemainnya dibuai mimpi indah dan terlalu selesa dengan kejayaan itu.

"Bagi saya semua pasukan yang beraksi dalam saingan piala berprestij ini ada keistimewaan dan kekuatan masing-masing. Begitu juga dengan FELCRA FC, apatah lagi skuad itu muncul naib juara Liga Perdana musim ini dan kita tidak tahu kekuatan sebenar pasukan itu kerana tidak pernah bertemu," kata Irfan Bakti ketika ditemui pada sesi penaja kopi Super Jantan bersama pemain TFC di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, petang semalam.

Sementara itu Pengarah Urusan GLE Centre Enterprise pengeluar kopi Super Jantan, Mohd Zulkifli Harun berkata, sesi berkenaan diadakan bagi memberi suntikan semangat kepada pemain supaya mampu beraksi dengan lebih cemerlang bertemu FELCRA FC untuk meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut.

"Selain itu kita berharap skuad kendalian Irfan Bakti ini mampu mara lebih jauh hingga ke perlawanan akhir musim ini dan seterusnya membawa pulang piala berprestij itu selepas gagal dalam saingan Piala FA dan Liga Super.

"Ini tahun kedua selepas 2012 kami menaja skuad TFC yang dulunya dikenali pasukan Terengganu dan jumlah penajaan sebanyak RM100,000 setahun. Berdasarkan prestasi semasa skuad ini, kemungkinan kami akan meneruskan penajaan lagi pada musim depan," kata Zulkifli. - Berita Harian