Impian Wan Ahmad Amirzafran

Posted on Friday, September 21, 2018 | 9/21/2018


Photo: TFC

Pertahanan muda Terengganu, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, menyimpan impian mahu menamatkan penantian 17 tahun negeri itu menjulang Piala Malaysia selepas kali terakhir mereka memenanginya pada 2001.

Walaupun Terengganu sentiasa dilimpahi ramai pemain berbakat, mereka tetap buntu untuk menjulang Piala Malaysia selain kejuaraan Liga Super selama hampir dua dekad.

Tewas kali terakhir di pentas final 2011 kepada Negeri Sembilan, kini giliran bakat muda seperti Wan Ahmad Amirzafran untuk meneruskan impian peminat Terengganu yang mahu melihat skuad Penyu menamatkan kemarau kejuaraan itu.

Membesar dengan menyaksikan pelbagai kejayaan Terengganu sebelum ni, dia berharap mampu menjadi sebahagian daripada legasi bola sepak negeri itu dengan cuba memenangi seberapa banyak trofi, terutama Piala Malaysia.

"Semasa kecil, memang saya menyaksikan Terengganu beraksi cemerlang, dibarisi pemain-pemain seperti Ashari Samsudin dan Ismail Faruqi dan saya berharap dapat menjulang Piala Malaysia.

"Saingan ketika ini mematangkan saya kerana sebelum ini jarang dapat peluang beraksi. Apabila jurulatih memberi peluang, saya akan cuba sebaik mungkin," katanya.

Dia yang dijangka menjadi taruhan pengendali, Irfan Bakti Abu Salim, untuk menghadapi Felda United dalam suku akhir pertama Piala Malaysia malam ini mengakui bekas pertahanan Terengganu, Marzuki Yusof, banyak mempengaruhi gaya permainannya seperti hari ini.

Selagi negeri kelahirannya itu masih mahukan khidmatnya, dia bersedia berbakti untuk tempoh yang lama, sama seperti apa yang Marzuki lakukan bersama Terengganu.

"Saya bersama Marzuki selama setahun dalam skuad T-Team dan banyak pengalaman yang telah dia kongsikan.

"Mungkin saya akan cuba untuk mengikut jejak langkahnya, berbakti buat Terengganu." - Arena
Blog, Updated at: 9/21/2018

0 comments: