PDRM Hanya Tunggu Masa Cekup Ulat Tiket!


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Terengganu akan memantau penjualan tiket untuk perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia antara TFC dan FELDA United di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah (SSINS), Jumaat ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, pegawai dan anggota polis tidak berpakaian seragam akan melakukan pemantauan serta mengambil tindakan ke atas ulat tiket yang kebiasaannya bermaharajalela mengambil kesempatan menjual tiket dengan harga mahal di luar stadium.

Beliau turut mengharapkan kerjasama penjual tiket di kaunter supaya mematuhi peraturan ditetapkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang mengehadkan hanya tiga keping tiket untuk seorang pembeli.

"Kewujudan ulat tiket yang biasanya mengambil kesempatan menjual tiket dengan harga lebih tinggi tidak akan berlaku jika semua pihak termasuk penjual tiket mematuhi ketetapan dikeluarkan PBSNT.

"Polis dimaklumkan PBSNT menyediakan 10,000 keping tiket berharga RM20 untuk tempat berbumbung, RM10 (terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak akan dijual di semua kaunter jualan tiket di SSINS mulai jam 10.30 pagi Jumaat ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Idris berkata, pegawai dan anggota polis yang lengkap berpakaian seragam juga akan ditempatkan di semua kaunter jualan tiket di SSINS bagi mengawal kesesakan dan menjaga keselamatan.

"Penempatan pegawai dan anggota polis sepanjang penjualan tiket dilakukan bagi menangani isu kaunter jualan tiket hanya dibuka setengah jam seperti perlawanan tahun lalu," katanya.

Dalam perkembangan lain, PBSNT menyediakan 10,000 tiket, termasuk 2,000 yang dijual secara dalam talian untuk perlawanan Jumaat ini.

Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata: "Pintu stadium akan mula dibuka jam 6.30 petang dan bagi memudahkan penyokong beragama Islam menunaikan solat Maghrib, PBSNT menyediakan ruang di belakang gol di pintu F," katanya. - Harian Metro