Terengganu FC Perlu Buktikan Jaguh...


KUALA TERENGGANU: “Buktikan bukan hanya hebat di tempat lawan tapi juga jaguh di kampung sendiri,” kata ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata demikian menjelang pertemuan hidup mati menentang FELDA United pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Irfan berkata, kekalahan dua kali berturut-turut di laman sendiri kepada Perak dan Kuala Lumpur serta seri dengan naib juara Liga Perdana musim ini, FELCRA FC pada aksi peringkat kumpulan tidak boleh dijadikan pencapaian sebenar pasukan.

“Aksi suku akhir tidak sama dengan peringkat kumpulan kerana formatnya berbeza, begitu juga auranya tidak sama malah tidak boleh dijadikan ukuran sebenar skuad kami.

“Oleh itu saya percaya pemain kami sudah melupakan kekalahan itu dan mereka bertekad untuk bermain bermati-matian bagi meneruskan misi ke separuh akhir,” kata Irfan yang mahukan pemainnya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri.

Mengenai kemungkinan rombakan kesebelasan utama pasukannya selepas ketiadaan pertahanan tengah, Wan Amirzafran Wan Nadris yang terpaksa melupakan piala itu selepas cedera lutut, beliau berkata, hanya perubahan kecil akan berlaku.

“Kami akan mengamalkan corak permainan menyerang dengan formasi 4-4-2 untuk mencari jaringan awal biarpun sudah ada bekalan susulan kemenangan 2-1 pada aksi pertama di tempat lawan.” - Berita Harian