Ada Ganjaran Jika Juara Piala Malaysia


KUALA TERENGGANU: Pemain Terengganu FC (TFC) akan mendapat durian runtuh sekiranya mengalahkan Perak pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bentuk habuan yang akan diterima pemain skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu tidak diputuskan secara rasmi kerana kerajaan negeri belum lagi bermesyuarat.

“Insya-Allah akan ada ganjaran, namun yang penting kena menang terlebih dahulu,” kata Wan Sukairi ketika ditemui selepas taklimat dan kunjungan hormat delegasi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri Kelantan ke Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) hari ini.

Bagaimanapun Wan Sukairi tidak mahu pemain skuad Penyu memikirkan soal habuan itu sebaliknya perlu memberikan komitmen 100 peratus di tengah padang bagi mengulangi pencapaian muncul juara pada 2001.

“Kerajaan negeri lebih suka pemain fokus kepada pertemuan itu nanti kerana yang paling penting sekali mereka memberikan komitmen dan mempamerkan aksi terbaik.

“Soal ganjaran perkara kedua kerana kerajaan negeri belum bermesyuarat dengan jelas lagi apa bentuk insentif dan penghargaan yang akan diberikan kepada pemain.

“Namun saya yakin pemain mampu mengulangi pencapaian cemerlang dan hebat seperti ketika menumpaskan Johor Darul Ta’zim pada separuh akhir. Semangat sebegini yang kami mahukan,” ujar Wan Sukairi.

Mengenai kemungkinan cuti umum diberikan bagi menghargai peminat setia skuad Penyu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengisytiharkan cuti itu dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri akan cuba selesaikan perkara itu (cuti) dalam masa terdekat iaitu sehari dua sebelum perlawanan akhir,” katanya. - Harian Turun