Tutup Aurat Bukan Masalah - Irfan Bakti


KUALA TERENGGANU: “Tiada masalah buat pemain untuk memakai pakaian menutup aurat ketika beraksi,” kata ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan negeri mewajibkan pemain yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memakai pakaian patuh syariah ketika beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bagaimanapun jurulatih berpengalaman itu berkata, terdetik juga di hatinya jika ada pemain kurang selesa dengan arahan baharu itu walaupun ia baik selain tidak menjejaskan mutu persembahan pemain.

“Secara peribadi saya setuju dengan peraturan baharu itu kerana cara pakaian patuh syariah tidak menghalang pemain beraksi lebih baik kerana ia bergantung kepada komitmen dan kemahiran pemain.

“Sebelum ini sudah ramai pemain yang memakai pakaian patuh syariah dengan mengenakan ‘tights’ ketika beraksi, justeru pada pandangan saya peraturan baharu itu tidak menjadi masalah besar buat pemain.

“Bagi pemain yang mungkin tidak biasa memakai ‘tight’ saya akan berjumpa dan menasihati mereka ketika sesi latihan awal bulan depan,” ujar Irfan.

Ahad lalu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mewajibkan semua pemain bola sepak negeri menutup aurat ketika beraksi di laman sendiri dan lawan mulai musim 2019.

Pelaksanaan pakaian patuh syariah itu bagaimanapun hanya terpakai kepada pemain beragama Islam sahaja manakala pemain bukan beragama Islam digalakkan mengikut cara pakaian itu. - Harian Metro