PBSNT Bukan Kaki Bodek!


KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak mahu dilabel sebagai ‘perampas’ hak pasukan lain susulan Terengganu FC II (TFC II) dikekalkan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Malah Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata, persatuan negeri itu juga tidak mahu digelar sebagai persatuan ‘kaki bodek’ Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sebaliknya beliau berkata, pengekalan TFC II dalam kancah Liga Perdana tahun depan adalah atas faktor kejayaan skuad The Turtles itu merangkul Piala Cabaran musim ini.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kehadiran semula TFC II ke Liga Perdana musim depan yang dikatakan mengambil alih daripada Terengganu City FC (TCFC) yang tidak layak beraksi dalam divisyen kedua itu.

“Pengekalan TFC II ini tidak ada kena-mengena langsung dengan TCFC, TFC II layak ke Liga Perdana kerana menjuarai Piala Cabaran selepas menumpaskan UKM dengan agregat 4-2.

“Jika ada sesetengah pihak mendakwa TFC II menggantikan TCFC, ia tidak benar sama sekali kerana surat yang diterima daripada FAM adalah atas kelayakan menjuarai Piala Cabaran.

“Lagipun TCFC bukan di bawah tajaan PBSNT, justeru kami harap peminat tidak membuat spekulasi yang tidak tepat berkaitan hal ini,” kata Tengku Farouk kepada Sukan NSTP.

Khamis lalu, MFL memutuskan untuk mengekalkan TFC II yang bertindak sebagai pasukan ‘feeder’ beraksi dalam divisyen dua itu walaupun tersingkir ke Liga FAM musim depan selepas menghuni tangga tercorot Liga Perdana musim ini. - Berita Harian