Mangsa didera sejak 2 tahun lalu

JOHOR BAHRU: Dua tahun menderita sebelum seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dipercayai didera ibu kandung dan bapa tiri sehingga mengalami kecederaan teruk diselamatkan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata maklumat itu diperoleh hasil siasatan pihaknya selepas menahan kedua-dua suspek di rumah mereka di Pangsapuri Desa Melayu, Taman Bayu Puteri, di sini.

“Bertindak daripada laporan yang diterima, polis menjalankan siasatan dan menahan ibu mangsa yang juga warga asing berusia 38 tahun serta bapa tirinya lelaki tempatan berusia 29 tahun.

“Siasatan terhadap pasangan itu dan soal siasat dijalankan di kawasan itu mendapati penderaan terhadap kanak-kanak itu sudah berlaku sejak dua tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, mangsa kini sedang menjalani pemeriksaan dan rawatan di sebuah hospital di negeri ini.

Katanya, polis menerima aduan berkaitan kes dera kanak-kanak lelaki itu pada jam 11.33 pagi semalam.

“Siasatan mendapati suspek lelaki itu adalah pemandu bas di Singapura dan pernah menjadi Sukarelawan Polis di Balai Polis Puchong Jaya, manakala isterinya seorang peniaga makanan atas talian,” katanya.

Beliau berkata, pasangan itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penderaan itu boleh menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS di talian 07-2218999.

Gambar seorang kanak-kanak dipercayai mangsa dera menjadi viral sejak petang semalam, dengan keadaan belakang badannya terdapat kesan luka yang teruk selain dipenuhi parut lama.

Kanak-kanak itu dipercayai didera dan dipukul dengan menggunakan wayar periuk nasi oleh kedua-dua suspek.



Sumber: cempedakcheese.com