Ong Kim Swee Bengang Dengan Pengendali TFC II


KUALA LUMPUR: “Usah tanya apa negara boleh berikan kepada kita tetapi tanya diri sendiri apa yang boleh kita beri kepada negara,”.

Ungkapan itu mungkin sesuai buat pengendali Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan selepas berdiam diri terhadap permintaan Datuk Ong Kim Swee mendapatkan pemain bagi mengisi kekosongan dalam pasukan kebangsaan menjelang Kejuaraan AFF B-22 di Kemboja pada 17 Februari ini.

Usaha Kim Swee menelefon dan menghantar mesej untuk mendapatkan persetujuan melepaskan pemain langsung tidak mendapat reaksi balas sekali gus menimbulkan rasa berang kepada pengendali berasal dari Melaka itu.

“Memang saya marah apabila pengurusan kelab tidak mahu melepaskan pemain. Cuba bayangkan, saya telefon tidak terjawab dan saya mesej juga tidak berbalas,” katanya ketika ditemui ketika sesi latihan skuad B-22 kebangsaan di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Ini bermakna, daripada tiga pemain baharu dipanggil, hanya dua sahaja melaporkan diri menyertai latihan iaitu Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham dari Negeri Sembilan dan K Thivendran (PJ City).

Semalam, Kim Swee kehilangan lima pemain daripada senarai awal selepas tidak dapat pelepasan daripada pasukan pasukan masing-masing.

Lima pemain itu adalah Syahmi Safari dari Selangor; Danial Amier Norhisham dan Zahril Azri Zabri dari FELDA United; Fadzrul Danel Nizam dari Kedah serta Faizal Halim dari Pahang.

Bagaimanapun, Kim Swee menegaskan beliau tidak akan menyenarai hitamkan pasukan berkenaan kerana ia jelas merugikan pemain untuk terus berkembang.

“Tidak ada guna kalau saya ‘gam’ pasukan itu kerana saya kasiankan pemain kerana jika saya buat, ia menutup peluang dan merugikan pemain itu sendiri,” katanya. - Berita Harian