Jentera PAN jangan malu-malu bantu Streram – Mat Sabu

REMBAU – Pakatan Harapan (PH) memilih Dr. S. Streram sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kerana mengutamakan kerjasama antara kaum dalam gabungan parti berkenaan.

Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu berkata, walaupun sebelum ini ada gesaan supaya calon Melayu dipilih namun kesetiaan antara kaum tetap dipertahankan.

“Selepas calon Melayu menang dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih, ada yang kata elok PH letak orang Melayu di Rantau.

“Kita tak boleh terperangkap dengan hanya satu kaum sebab formula politik Malaysia memerlukan kerjasama antara berbilang kaum.

“Saya minta jentera PAN jangan ‘segan’ bekerja di Rantau semata-mata kerana Streram bukan orang Islam dan Melayu. Kalau kita berfikiran macam itu kita telah diperangkap oleh Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera PAN bagi PRK DUN Rantau di Taman Kelab Tuanku di sini malam ini.

Yang turut hadir Naib Presiden PAN, Dr. Hassan Bahrom: Pengarah Pilihan Raya PAN, Datuk Dr. Hatta Ramli dan Pengerusi PAN negeri, Datuk Zulkifly Mohamad Omar.

Sementara itu Streram berkata, sebagai seorang pakar bius, selama ini beliau membantu pesakit tanpa mengira kaum dan agama.

Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau itu berkata, beliau turut memahami keperluan dan kesusahan rakyat kerana datang dari keluarga miskin. – UTUSAN ONLINE



Sumber: cempedakcheese.com